Pelakon dibenar mula tindakan hina mahkamah terhadap NST
Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pelakon wanita Noor Shereen Mohamad Hadzim atau lebih dikenali sebagai Shereen untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap The New Straits Times (Malaysia) Berhad, editor, wartawan dan ketua pegawai eksekutif akhbar terbitan NSTP.
Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pelakon wanita Noor Shereen Mohamad Hadzim atau lebih dikenali sebagai Shereen untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap The New Straits Times (Malaysia) Berhad, editor, wartawan dan ketua pegawai eksekutif akhbar terbitan NSTP.
Kebenaran itu diberikan Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar hari ini.
Shereen, yang diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah menamakan NSTP sebagai defendan pertama, editor akhbar Malay Mail Ahiruddin Attan sebagai defendan kedua, dua wartawan akhbar itu Adie Suri Zulkefli dan Dennis Chua sebagai defendan ketiga dan keempat sementara ketua pegawai eksekutif NSTP Syed Faisal Albar sebagai defendan kelima.
Shereen, yang juga penyanyi dan pernah berlakon dalam telemovie "Anak Mami" dan filem "Putera", mendakwa laporan yang diterbitkan dalam akhbar Malay Mail bertarikh 16 dan 17 Mac lalu mengenai penangkapannya berhubung tuduhan pengawalan dan pengambilan dadah adalah prejudis dan subjudis terhadapnya.
Muhammad Shafee dalam hujahannya berkata akhbar terbabit menyiarkan laporan yang mendakwa anak guamnya mengedar dadah dan mempunyai pelanggan tetap di kalangan artis dan anak-anak orang kenamaan dan telah lama menghisap ganja.
Menurut laporan Bernama, Muhammad Shafee mendakwa laporan yang menggunakan "sumber polis" itu menggugat status mahkamah kerana hanya mahkamah yang boleh membuat keputusan.
"Laporan tersebut telah memberi gambaran seolah-olah anak guam saya telah didapati bersalah terhadap tuduhan itu sedangkan pada ketika itu belum ada sebarang pertuduhan rasmi dibuat terhadapnya," kata Shafee.
Pada 23 Mac lalu, Shereen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap tuduhan mengambil dan mengawal dadah.
Benar ikatjamin
Shereen, 33, yang didakwa bersama-sama Ku Faizal Ku Baharum, 28, Mohd Hafiz Nasib, 28, dan Mohd Nizam Halami, 33, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu mengambil dadah jenis heroin, mengawal 1.6 gram kanabis dan mengawal 1.4 gram methamphetamine.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di rumah C1-1-C3, Pangsapuri Subang Villa Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang, di sini kira-kira jam 2 pagi 15 Mac lalu.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mengawal kanabis mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) akta yang sama manakala pertuduhan mengawal methamphetamine mengikut Seksyen 12 (2) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000.
Ku Faizal juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar 205.5 gram kanabis, mengedar 0.6 gram methamphetamine dan mengawal 1.9 gram methamphetamine di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Disemak 1980) yang membawa hukuman mati mandatori manakala bagi pertuduhan ketiga dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama. Tiada pengakuan dicatatkan daripada Ku Faizal.
Majistret Azroul Hisham Azulan membenarkan Shereen, Mohd Hafiz dan Mohd Nizam, masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes, manakala Ku Faizal ditahan reman.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.