Perwakilan Umno diingat 'jangan hangat-hangat tahi ayam'
Perwakilan Umno diingat jangan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' melaungkan semangat perjuangan parti di perhimpunan agung Umno 2016 sebaliknya, mereka perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi parti Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata semangat dan pesanan yang diutarakan pucuk pimpinan tertinggi harus diterjemahkan kepada gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan masing-masing.
"Semangat berkobar-kobar itu janganlah di dalam Dewan Merdeka sahaja, semangat itu perlu dibawa pulang ke bahagian masing-masing kerana kali ini (perhimpunan agung Umno) mungkin merupakan pesanan terakhir daripada pucuk pimpinan sebelum pilihan raya umum," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Beliau berkata anggota parti, sama ada di peringkat atasan atau akar umbi, perlulah mempunyai kebersamaan dan senada dalam menjalankan gerak kerja bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Mereka haruslah fokus kepada kerja-kerja pilihan raya dan tidak terpesong dengan agenda lain seperti pemilihan dalam parti atau mahu mengejar jawatan," katanya.
Ketua Umno bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata bahagian itu sudah bersiap siaga menghadapi PRU14 dan hanya menunggu semboyan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Namun, katanya jentera parti tidak boleh leka dan mengambil mudah parti lawan dengan melipat ganda usaha di peringkat terakhir perjuangan iaitu pilihan raya umum.
Sebagai contoh, Umno bahagian Kuantan diumum memenangi anugerah 'war room' (perang saraf) terbaik baru-baru ini...namun, ia tidak memberi makna kalau kita tidak menang pilihan raya," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno bahagian Masjid Tanah Datuk Latipah Omar berkata jentera kerja Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu 'turun padang' untuk melakukan kajian bagi mengenal pasti sokongan pengundi.
Latipah yang juga Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka itu berkata langkah itu penting bagi mengemas kini pola pengundi sekali gus, membolehkan parti itu menjalankan usaha menarik sokongan rakyat khususnya dalam kalangan anak muda.
"Kajian sikap yang dilakukan sebelum ini tidak mengambil kira perkembangan penubuhan parti-parti baru seperti AMANAH (Parti Amanah Negara) dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Jadi, kita kena tahu arah sokongan rakyat," katanya.
Justeru itu, katanya Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta jentera parti komponen di bahagian masing-masing perlulah melipatgandakan gerak kerja sama ada secara tradisional dengan mengunjungi rumah ke rumah selain aktif di dalam media sosial.
- Bernama

