Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Rabu lalu dibenarkan pulang petang ini setelah menjalani rawatan di pusat itu.

Menurut anak lelakinya Hamdi, bapanya keluar dari IJN pada jam 3 petang ini dan keadaan beliau kini adalah stabil.

"Alhamdulillah keadaannya stabil dan beliau menjalani pemeriksaan terakhir sebelum dibenarkan pulang petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Haron dimasukkan ke IJN pada jam 11 pagi Rabu lalu setelah tahap kesihatannya terjejas sejak malam sebelumnya.

Beliau juga pengsan pada malam itu dan pada pagi sebelum dihantar ke IJN.

Hamdi berkata bapanya akan menjalani rawatan susulan di Amerika Syarikat dan dijangka berlepas ke negara itu petang esok.

Berikutan keadaan kesihatannya itu, Haron mengambil keputusan muktamad menarik diri daripada pencalonan semua jawatan termasuk Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu, awal bulan depan.

Ini adalah kali kedua Haron menarik diri daripada dicalonkan bagi jawatan tersebut.

Muktamar PAS ke-51 akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa pada 3 Jun manakala pemilihan parti pada keesokan hari.