Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa wujudnya strategi baru PAS yang cuba merosakkan Umno daripada dalam dengan menjadi ahli Umno.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pemimpin Umno di peringkat cawangan agar memantau tindakan ahli PAS terbabit.

"Kalau kita tahu mereka ada niat yang tidak baik, kita tak akan terima dia menjadi ahli Umno.

"Jadi yang mengenali mereka ialah pemimpin di peringkat cawangan. Mereka kena lebih berhati-hati dan jangan terlepas pandang serta bersubahat untuk merosakkan Umno daripada dalam," katanya.

Menurut laporan Bernama, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara di Kuala Terengganu hari ini.

Mengenai muktamar PAS di Kelantan minggu depan, Najib menyifatkan persaingan merebut jawatan di kalangan pemimpin PAS dalam pemilihan parti itu memperlihatkan sikap mereka yang "gila" kuasa dan jawatan.

Katanya, pemimpin PAS tidak boleh menuduh pemimpin Umno mementingkan jawatan dan kuasa kerana mereka yang sebenarnya berbuat demikian.

"Perebutan jawatan dalam PAS agak sengit dan kempen pun dah menular ke peringkat akar umbi. Ini menampakkan persaingan semakin sengit dan hangat.

"Jadi mereka tidak boleh tempelak kepada Umno...(kerana sebelum ini) mereka selalu mendakwa orang Umno gila jawatan, gila kuasa dan sebagainya," katanya.

Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara penyandangnya Senator Hassan Shukri, dengan Bendahari PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Setiausaha Agung parti itu, Nasharuddin Mat Isa.

Ia berikutan keputusan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menolak pencalonan untuk bertading jawatan tersebut atas sebab-sebab kesihatan dan akan berlepas ke Amerika Syarikat esok bagi mendapatkan rawatan lanjut.