Beratus-ratus orang berkumpul di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum sebagai membantah perbuatan menghina kitab suci al-Quran oleh para penyiasat tentera Amerika.

Dengan diketuai oleh PAS, kira-kira 500 orang melaungkan " Hidup Islam " dan " Allahu Akbar " serta membakar bendera Amerika sebelum menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai kedutaan berkenaan.

Memorandum itu ditandatangani oleh parti PAS, badan Islam bukan kerajaan, bagi membantah perbuatan menghina al-Quran di pusat tahanan Guantanamo serta menggesa supaya dihentikan penderaan ke atas tahanan oleh kerajaan Amerika.

Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terbabit dengan perbuatan menghina al-Quran itu.

Perbuatan tersebut dilaporkan oleh majalah Newsweek pada 2 Mei lalu bahawa para penyiasat Amerika di penjara Guantanamo membuang al-Quran ke dalam tandas.

Laporan tersebut yang ditarik balik kemudiannya, telah mencetuskan bantahan besar-besaran di Afghanistan sehingga mengorban 14 orang. Bantahan yang sama diadakan di negara Islam yang lain.

Pegawai politik kedutaan tersebut, Alexander Sokoloff berkata memorandum itu akan diserahkan kepada duta Amerika di sini yang dijangka akan memaklumkannya kepada Presiden George W Bush.

"Kami juga amat memandang berat perbuatan menghina mana-mana kitab suci dan kami pastikan akan menyiasat dakwaan tersebut, walaupun Newsweek telah menarik balik laporan itu," katanya.

Orang ramai beredar secara aman setengah jam kemudiannya.

- AFP