Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu terkejut mendengar tragedi jejambat pejalan kaki dalam pembinaan yang menghubungkan KL Eco City dan Mid Valley Megamall di Bangsar, Kuala Lumpur, roboh baru-baru ini.

Tidak sampai sebulan selepas sepasang suami isteri maut apabila piling rig menghempap kereta mereka di tapak pembinaan sepanjang Persiaran Astana, Klang, satu lagi tragedi yang membawa kepada kecederaan serius dan maut pula berlaku.

Jika semua pihak yang terbabit dalam industri pembinaan – termasuk pihak berkuasa tempatan, pemaju, kontraktor, arkitek, juruukur bahan, jurutera struktur, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) – memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, tragedi malang itu mungkin dapat dielak.

Di sebalik gesaan berulang kali kepada kerajaan agar menjalankan siasatan lengkap ke atas operasi DOSH, pihak berkuasa nampaknya tidak mampu menangani perkara ini kerana mereka tidak memberi perhatian kepada gesaan yang kami buat.

Perkara ini jelas ekoran berlaku satu lagi tragedi di tapak pembinaan.

Apabila insiden seumpamanya berlaku, jelaslah kepada kita bahawa DOSH dan pemaju tidak memberi keutamaan kepada perkara yang sepatutnya.

Di samping berusaha untuk mencegah insiden seperti itu berulang, mereka menunggu sehingga ia berlaku dan kemudian bergelut untuk mengambil langkah-langkah memperbetulkan keadaan.

Apabila berlaku kehilangan nyawa, tiada langkah pembetulan yang boleh diambil; ia bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan.

Sungguhpun punca kejadian masih disiasat, logik akal mengatakan ia bukan berpunca daripada kemalangan tetapi lebih kepada kecuaian di pihak yang terbabit dalam projek tersebut.

Sementara itu akhbar The Malay Mail memetik kata-kata Prof Datuk Dr Mahyuddin Ramli dari Universiti Sains Malaysia yang mendakwa insiden seumpamanya boleh berlaku apabila kontraktor tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Dalam kejadian itu, konkrit memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mengering dan mengeras; namun dalam keadaan cuaca lembap sekarang, ia memerlukan masa lebih panjang.

Mahyuddin menambah, satu hal lagi yang boleh menjadi punca kemalangan jika kontraktor tidak menggunakan bahan perancah (scaffolding) yang sesuai ketika proses pembinaan.

Pemeriksaan keselamatan

Jarak di antara sesuatu perancah dan saiz yang digunakan amat penting kerana ia mempunyai kekuatan berbeza mengikut struktur yang akan ditanggungnya.

Sementara itu Ketua Pengarah DOSH, Datuk Mohtar Musri berkata, siasatan awal mereka mendapati insiden itu berlaku kerana struktur berkenaan rosak.

Menurutnya, mereka perlu meneliti kualiti bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaan jejambat pejalan kaki tersebut.

Walau apa pun yang menjadi puncanya, pihak berkuasa terbabit dan orang awam perlu sedar bahawa sejarah berulang, sungguhpun ia tidak sepatutnya berlaku.

Jika kejadian buruk itu benar-benar berlaku disebabkan struktur yang rosak, maka ia perlu diperjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa tidak tahu.

Pegawai DOSH dan pemeriksa keselamatan di tapak pembinaan sepatutnya tahu mengenai mana-mana struktur yang rosak, jika ada.

Ini menimbulkan persoalan sama ada pemeriksaan keselamatan yang teliti dijalankan di peringkat-peringkat tertentu oleh pihak berkenaan.

Menurut laporan, beberapa pihak yang ada kaitan dengan industri pembinaan meminta hasil siasatan dimaklumkan kepada mereka.

Kami juga ingin meminta agar maklumat tersebut turut dikongsi bersama orang awam.

Tambahan pula, CAP ingin mengetahui apa yang berlaku kepada hasil siasatan bagi kejadian-kejadian sebelumnya. Kenapakah maklumat penting itu tidak dikongsi bersama orang awam sedangkan nyawa mereka berada dalam bahaya ekoran kecuaian pihak di tapak pembinaan?

Sehubungan itu, CAP menggesa langkah tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam projek KL Eco City kerana mereka sepatutnya bertanggungjawab atas apa yang berlaku, meskipun mereka tidak terlibat secara langsung.

Pemaju tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya memandangkan pihak lain akan berasa mereka boleh berlepas tangan apabila insiden seumpamanya berlaku. Dan ini akan menyebabkan insiden yang sama terus berulang.


SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS