Paling Popular
Terkini

Wira Perkasa Malaysia kesal dengan pendirian Pemuda PAS Kelantan yang dilihat menyebelahi tauke balak berbanding Orang Asli yang tertindas di negeri itu.

Sepatutnya Pemuda PAS bersikap lebih lantang mempertahankan kaum yang oleh tauke balak yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Selain itu, mereka harus mempamerkan imej yang baik kerana membawa bayangan parti melaungkan slogan "Membangun Bersama Islam".

Islam tidak pernah mengajar umatnya menindas kaum lain, dan lebih daripada itu, Islam sama sekali tidak membangun kerana menindas.

Pada masa sama, Pemuda PAS dinasihati supaya berhenti menuduh "orang luar" sebagai penghasut Orang Asli membuat bantahan.

Tindakan ini memperlihatkan kerajaan Kelantan kehabisan modal dan ingin menjarakkan diri daripada masalah yang telah mereka lakukan.

Sekarang rakyat sudah pandai menilai. Sewajarnya kerajaan Kelantan mencari penyelesaian kepada kemelut ini, bukannya meletakkan kesalahan itu pada orang lain.

Kami menggesa Pemuda PAS lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Ia adalah aset yang sangat penting untuk kelastarian kehidupan makhluk di muka bumi ini. Menjadi kewajipan kepada umat Islam menjaga dan memulihara alam sekitar.

Dalam hal ini Pemuda PAS harus sedar kelangsungan masa hadapan lebih penting dan bernilai berbanding keuntungan yang sedang diraih hasil pencerobohan ke kawasan Orang Asli.

Sempena musim tengkujuh ini kami ingin mengajak masyarakat untuk kembali mengingati tragedi hitam yang pasti tidak dapat kita lupakan iaitu banjir besar pada 2014.

Banjir ini popular dengan nama "Bah Kuning" kerana warnanya akibat lumpur yang terhakis dari kawasan pembalakan yang tidak terkawal.

Kami tidak mahu bencana yang menyayat hati ini berulang lagi kerana kerakusan, kezaliman dan penindasan sebagai sebab utama.

Akhir kata, kami Wira PERKASA ingin bertanya kepada Pemuda PAS: Tidak malukah kalian menghalalkan pencerobohan yang mengundang bencana maha dahsyat ke atas Kelantan?

Adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memulihara alam sekitar ini kerana ia diamanahkan kepada kita, seperti maksud hadis Rasulullah SAW: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim).

Kebajikan dan hak Orang Asli perlu dipertahan, bukan ditindas dan dizalimi.


MOHAMAD SHAHIRAN SAFWA CHE MOHD ASEMARI ialah naib ketua Wira PERKASA

Lihat Komen
ADS