Sekumpulan pelajar pusat pengajian tinggi yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) akan menyerahkan satu memorandum ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabtu ini.

Aduan itu antara lain mencadangkan Auku dipinda kerana dianggap boleh menimbulkan perasaan takut kepada pelajar untuk bergiat cergas dengan kegiatan-kegiatan yang melanggar peruntukan akta itu.

Seksyen-seksyen 7 dan 11 melarang pelajar atau pertubuhan pelajar berhimpun atau menganjurkan perhimpunan seramai lebih daripada lima orang dan menjalankan sebarang kegiatan di luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

Menurut seksyen 15 (3) dan (4) pula, pelajar dan pertubuhan pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap sebarang parti politik, kesatuan sekerja atau badan-badan lain.

Sementara seksyen-seksyen 10 dan13 menyebutkan pelajar atau pertubuhan pelajar dilarang membuat rayuan atau apa-apa hubungan dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan hal-ehwal universiti. Akta itu juga melarang pelajar menerbitkan atau mengedar dokumen di dalam atau luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

Memorandum itu akan diserahkan oleh gabungan 12 kumpulan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Jurucakap gabungan itu Syahrir Mahmood memberitahu malaysiakini hari ini, turut diserahkan pada hari itu adalah aduan mengenai tindakan polis menyuraikan perhimpunan aman anjuran GMMI awal bulan ini.

Dipecat serta-merta

Tujuh orang, termasuk enam pelajar, ditahan hampir 24 jam dan dibebaskan dengan jaminan polis. Kumpulan pelajar mendakwa tangkapan dibuat ketika pelajar sedang bersurai dan polis tidak profesional ketika menjalankan tugas pada hari itu.

"Kandungan aduan itu antara lain mengenai kekecewaan mahasiswa berhubung tindakan polis semasa menangani perhimpuan anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di Masjid Negara lalu dan bagaimana layanan dan keadaan tahanan semasa di lokap," kata Syahrir.

Menurutnya lagi, aduan itu turut menyentuh hak-hak orang ramai berhimpun secara aman.

Seorang daripada enam pelajar itu, Rafzan Ramli, dipecat serta-merta daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Jumaat lalu dan kini sedang menunggu rayuan daripada Kementerian Pendidikan.

GMMI menyerahkan aduan itu, yang dirangkakan oleh perwakilan-perwakilan pelajar di pusat pengajian tinggi negara ini, kepada Suhakam kerana isu-isu akta universiti dan keganasan polis melibatkan hak asasi manusia.

Memorandum itu dijangka diserahkan oleh 10 wakil gabungan tersebut.

"Kita (GMMI) juga berharap ramai mahasiswa akan turut hadir memberikan sokongan kepada (acara) penyerahan aduan itu nanti," tambahnya.

Anggota GMMI termasuklah Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).