Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tolak dakwaan Dr M bahawa 700k warga China diberi IC

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan memberi kad pengenalan kepada 700,000 warga China supaya mereka boleh mengundi.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah dan tidak akan melakukan perkara seperti ini.

"Saya tidak tahu apa yang beliau lakukan apabila beliau memimpin negara ini, apabila KDN di bawah kepimpinan beliau, tetapi saya ingin memberikan keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa KDN tidak akan melakukan perkara itu dan tidak pernah melakukannya," katanya kepada pemberita di Kajang hari ini.

Beliau membandingkannya dengan dakwaan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 bahawa BN telah membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi BN dalam pilihan raya. Walaupun tidak masuk akal, orang percaya dakwaan itu adalah benar, katanya.

Sebelum ini dalam satu ceramah di Melaka, Mahathir mendakwa kerajaan mengadakan perjanjian dengan China di mana 700,000 orang akan dibawa ke Malaysia dan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi.

Seramai 700,000 orang yang dikatakan itu akan ditempatkan di Forest City, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Iskandar Malaysia di Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin menafikan dakwaan itu.

Walaupun mengakui mungkin terdapat 700,000 warga asing di Johor dalam tempoh 30 tahun, Khaled berata tidak semua daripada mereka adalah dari China.

Beliau berkata Forest City sedang dipasarkan di seluruh dunia, bukan sahaja China tetapi juga seperti Australia dan Timur Tengah. Sebelum ini, Mahathir sendiri turut dikaitkan dengan satu lagi skim memberi kewarganegaraan bagi meraih undi yang digelar 'Projek IC'.

Ini dikatakan melibatkan sejumlah besar pendatang Muslim ke Sabah pada lewat 1980-an dan awal 1990-an bagi mengubah demografi negeri itu untuk memihak kepada Umno.

Mahathir bagaimanapun menafikan kewujudan Projek IC.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2014 memutuskan bahawa Projek IC 'mungkin' wujud, tetapi pihak kerajaan atau parti politik tidak terlibat.

Sebaliknya, suruhanjaya itu menyalahkan kemasukan besar-besaran pendatang asing kerana sindiket yang melibatkan bekas pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lihat Komen
ADS