Anggota polis tembak diri sendiri selepas tembak mati rakyat Indonesia
Seorang anggota polis menembak dirinya sendiri selepas menembak mati dua lelaki Indonesia dan mencederakan seorang lagi dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu di Bandar Medan Ipoh dekat Kinta City di Ipoh pagi tadi.
Seorang anggota polis menembak dirinya sendiri selepas menembak mati dua lelaki Indonesia dan mencederakan seorang lagi dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu di Bandar Medan Ipoh dekat Kinta City di Ipoh pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak SAC I Abdul Razak Bokhari berkata anggota polis berpangkat lans koperal itu yang berusia 42 tahun, cedera parah di leher dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Ipoh.
Yang mati di tempat kejadian dikenali sebagai Agus Salim Mohd Nur, 35, dari Kampung Pasir Putih di sini dan rakannya Hasbri Osman, 38, juga dari Ipoh, meninggal dunia di hospital akibat tembakan di kepala manakala Mohd Hethir Basri, 25, cedera ringan di paha dalam kejadian yang berlaku di Restoran Salam pada 6.50 pagi tadi.
Menurut laporan Bernama, Abdul Razak memberitahu pemberita bahawa anggota polis itu bertugas di sebuah balai di sini dan telah berkahwin.
"Rakyat Indonesia itu bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai status penduduk tetap. Siasatan awal kita mendapati motif kejadian adalah kerana cemburu," katanya.
Beliau berkata empat das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan polis menemui sepucuk pistol milik anggota polis itu bersama empat kelongsong peluru dan 11 peluru hidup.
Berlaku pertengkaran
Abdul Razak berkata bahawa sebelum kejadian, anggota polis itu bersama ketiga-tiga lelaki itu, sedang minum di restoran berkenaan.
"Ketika mereka berbual-bual, dipercayai terjadi satu pertengkaran menyebabkan anggota polis terbabit mengeluarkan pistolnya lalu melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki berkenaan sebelum menembak dirinya sendiri," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menerusi telefon 05-2451222 untuk membantu siasatan.
Seorang saksi, yang bekerja di sebuah premis 24 jam berhampiran berkata, dia terdengar beberapa das tembakan yang pada mulanya disangkanya bunyi mercun.
Apabila keluar dari premis berkenaan, pekerja yang berusia 20-an itu mendapati tiga lelaki terbaring di jalan raya dengan kesan kecederaan di kepala manakala beberapa pelanggan lari bertempiaran.

