PERKASA cabar DAP tolak doktrin 'Malaysian Malaysia'
Ketua Wira PERKASA, Azrul Akmal Saharudin mencabar DAP untuk mengisytiharkan secara terbuka parti itu tidak lagi mendokong doktrin Malaysian Malaysia yang menjadi pegangannya sejak daripada awal penubuhan.
"Untuk membuktikan apa yang diperkatakan oleh Lim Kit Siang bukanlah retorik semata-mata, kita cabar DAP untuk mengisytiharkan secara terbuka bahawa ianya tidak lagi mendokong doktrin Malaysian Malaysia.
"Wira PERKASA juga mencabar DAP untuk memansuhkan dasar-dasar parti yang terpampang jelas di dalam laman web rasmi parti DAP yang matlamatnya adalah untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera," kata Azrul Akmal dalam kenyataannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Parlimen Gelang Patah itu yang mahu Perlembagaan Malaysia dipinda bagi membolehkan Orang Asli (OA) setaraf dengan masyarakat Melayu dan Bumiputera dari segi keistimewaannya.
Antara keistimewaan tersebut termasuk pendidikan, perkhidmatan awam, biasiswa, perniagaan dan perlindungan dalam soal tanah rizab, ujar Lim.
"DAP akan terus menyokong kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping melindungi hak kumpulan etnik yang lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bermakna kita juga mahu membantu untuk ianya dinikmati oleh semua masyarakat yang memerlukan," ujar beliau yang juga ketua anggota parlimen DAP dalam kenyataan.
Tambah beliau, kedudukan istimewa adalah untuk Bumiputera yang memerlukan dan bukan sekadar untuk Umnoputra yang kaya-raya.
Mengulas lanjut, Azrul Akmal berkata, pihaknya merasa ragu-ragu dengan kenyataan tersebut dan mahukan ia direalisasikan serta bukan hanya sekadar retorik untuk mengelirukan orang Melayu dan Bumiputera.
"Wira PERKASA ingin menegaskan nasib OA mesti dibela dan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan jangan sesekali ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi mereka demi untuk keuntungan politik.
"Jadi, Wira PERKASA sekali lagi ingin mengingatkan kepada DAP jangan hanya pandai bermain kata dan cuba untuk mengelirukan orang Melayu dan Bumiputera, buktikan bahawa apa yang diperkatakan itu akan direalisasikan.
"Kita mahu DAP sedar bahawa orang Melayu dan Bumiputera sudah bijak membaca omong-omongan palsu demi mendapatkan sokongan politik," ujar beliau lagi.

