Keadilan kesal ada pihak tukar nama parti
Parti Keadilan Nasional mendakwa ada pihak tertentu "cuba mengelirukan ahli" dengan menyebarkan pendapat bahawa nama parti itu telah diubah kepada 'Parti Keadilan Rakyat Malaysia' selepas mesyuarat agung minggu lalu.
"Tindakan ini telah menghina amalan demokrasi dan undang-undang tubuh parti," kata Ketua Penerangan Ruslan Kasim hari ini. Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak-pihak terbabit.
Ruslan juga berkata penggabungan yang disokong oleh perwakilan dalam mesyuarat agung khas Ahad lalu tidak melibatkan pindaan pada nama, lambang, persidangan agung tahunan, struktur parti dan hal-hal berkaitan perlembagaan parti.
Hampir dua pertiga daripada 270 perwakilan dalam mesyuarat itu menyokong usul penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Malaysia. Bagaimanapun usul untuk meminda perlembagaan bagi parti baru itu, yang memerlukan sokongan dua pertiga atau 180 undi, hanya mendapat 168 undi.
Pindaan itu termasuklah perubahan nama parti itu kepada Parti Keadilan Rakyat Malaysia atau singkatan Keadilan yang sering digunakan kini.
Kata Ruslan lagi, nama dan lambang parti masih sama hingga persidangan agung diadakan lagi bagi meluluskan pindaan peruntukan-peruntukan perlembagaan.
"(Buat masa ini) kita akan mempertahankan mandat untuk teruskan pencantuman tanpa meminda perlembagaan," katanya.
Akibat kegagalan usul kedua itu, warna biru muda pada bendera kini dikekalkan. Cadangan, yang dikemukakan oleh majlis tertinggi parti itu, untuk menambah dua lajur merah pada sempadan tepi kiri dan kanan bendera sebagai melambangkan warna asal bendera PRM ditolak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.