Mahkamah tolak permohonan lepas tanpa bebaskan Kasitah Gaddam
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pembela untuk melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam daripada tuduhan rasuah dan menipu membabitkan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pembela untuk melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam daripada tuduhan rasuah dan menipu membabitkan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).
Hakim Datuk Abdull Hamid Embong menolak permohonan peguam Datuk Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Kasitah dan menetapkan selama 21 hari, mulai 15 November ini untuk mendengar perbicaraan kes tersebut.
Muhamad Shafee memohon supaya Kasitah dilepas tanpa dibebaskan terhadap pertuduhan itu sementara menunggu hingga selesai proses pemindahan kes rasuah bekas pengurus besar LKTNS Datuk Wasli Mohamed Said dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Katanya, selepas pendakwaan berjaya dalam permohonan mereka untuk memindahkan kes Wasli ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan serentak dengan kes Kasitah, mereka (pendakwaan) boleh mendakwa semula Kasitah.
Hakim Abdull Hamid memberitahu pihak pendakwa, beliau berharap proses pemindahan kes Wasli itu akan selesai sebelum 15 November ini kerana perbicaraan kes Kasitah akan diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan.
Menurut laporan Bernama, dalam permohonannya itu, Muhammad Shafee berkata anak guamnya akan menderita disebabkan kelewatan yang tidak perlu.
Peguam: 'Prejudis terhadap Kasitah'
Beliau berkata, ia adalah prejudis terhadap Kasitah kerana dia terpaksa datang ke mahkamah setiap kali kes itu disebut di mahkamah, tetapi ia tidak akan memprejudiskan pendakwaan sekiranya mereka melepas tanpa membebaskan Kasitah.
Menurutnya, mahkamah seharusnya melepaskan tanpa membebaskan Kasitah, daripada menunggu sehingga proses pemindahan tamat, atau mereka harus meneruskan kes Kasitah pada tarikh perbicaraan berikutnya.
Beliau berkata, apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, satu permuhonan supaya perbicaraan bersama akan dikemukakan kepada mahkamah, dan ia akan menyebabkan sekali lagi permohonan serta bantahan terpaksa didengar.
Timbalan Pendakwaraya, Azmi Ariffin pula semasa membantah permohonan itu berkata, pihak pendakwa terpaksa memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan kerana permohonan untuk memindahkan kes Wasli, masih belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Azmi berkata pihaknya ingin menjalankan perbicaraan kes Kasitah dan bukan sengaja untuk melambatkan prosiding kes itu.
Sebelum itu, Azmi menjelaskan, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mendengar bantahan awal oleh pihak pembelaan di dalam rayuan berhubung pemindahan kes Wasli, tetapi belum membuat keputusan.
Tunggu keputusan mahkamah
Beliau berkata, pihak pendakwa mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas permohonan untuk memindahkan kes Wasli, ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Kasitah, 58, menghadapi tuduhan rasuah dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi LKTNS untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta unit saham pegangan LKTNS dalam SAPI Plantations Sdn Bhd kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd dengan dijanjikan 3.36 juta saham dalam SAPI Plantations.
Dia menghadapi tuduhan kedua dengan curangnya menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi satu saham SAPI Plantations dalam cadangan PPB Oil Palm bagi penyenaraian di Papan Utama, Bursa Saham Kuala Lumpur.
Kasitah dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Forum di Hotel Fairlane di sini pada 22 Okt, 1996.
Wasli, 57, pula menghadapi lima tuduhan rasuah melibatkan nilai suapan berjumlah RM1 juta dan meluluskan 3.36 juta saham kepada Kasitah.
Suapan itu dituduh sebagai upah bagi menyokong meluluskan pembelian saham LKTNS dalam SAPI Plantations Sdn Bhd oleh syarikat Briskmark Enterprise Sdn Bhd pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LKTNS antara tahun 1996 hingga 1998.
Wasli didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat LKTNS di Jalan Kelapa Sawit, Off Kilometer 4, Jalan Tuaran, di sini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.