Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Datuk' didakwa berhubung kes bunuh Bill Kayong

Seorang lelaki bergelar 'Datuk' didakwa di Mahkamah Majisret Miri hari ini berhubung pembunuhan Setiausaha PKR Bill Kayong pada 21 Jun lepas.

Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, didakwa bersama-sama pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub, Lie Chang Loon, 37, kerana bersubahat dengan pengawal kelab malam (bouncer) Mohamad Fitri Pauzi, 29, dalam pembunuhan itu.

Lee didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama dan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Jun 2016 kira-kira 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di persimpangan Jalan Kuala Baram.

Tiada pengakuan dicatatkan dan Lee dilihat menganggukkan kepala apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Zuraini kemudian menetapkan 30 Disember untuk kes itu disebut semula berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak.

Fadzila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177 A Kanun Tatacara Jenayah.

Sehingga kini, empat individu telahpun didakwa, termasuk Lee pada hari ini, atas pembunuhan Bill Kayong.

Tertuduh pertama Mohamad Fitri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, yang nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, manakala tertuduh lain didakwa bersubahat dan membunuh mengikut Seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Fitri, Lie dan Chin mengaku tidak bersalah ketika mereka dihadapkan di Mahkamah Tinggi Miri pada 25 November dan mahkamah menetapkan sembilan hari untuk perbicaraan bermula 3 Januari 2017.
-Bernama

Lihat Komen
ADS