Pramugari penyelia Penerbangan Malaysia (MAS) kini diberi pilihan untuk bersara setelah mencapai umur 45 tahun atau terus berkhidmat sebagai "ground staff" sehingga umur 55 tahun.

Pramugari penyelia yang memilih untuk bersara akan diberi ganjaran khas RM1,000 bagi setiap tahun perkhidmatan berbanding RM800 sebelum ini.

Kategori pramugari penyelia meliputi penyelia dalaman penerbangan, ketua pramugari dan pramugari utama.

Faedah juga akan dinikmati oleh pramugari biasa yang bersara pada usia 40 tahun. Manakala had bilangan anak yang dibenarkan bagi pramugari pula dinaikkan daripada dua kepada tiga orang.

Ini adalah antara terma dan syarat baru perkhidmatan pramugari yang dipersetujui MAS dan Kesatuan Pekerja Penerbangan Malaysia (Maseu) pada 3 Mei lalu dan diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, umur persaraan pramugari biasa dikekalkan pada 40 tahun dan mereka juga akan menerima ganjaran khas RM1,000 sepertimana pramugari penyelia, apabila bersara pada umur berkenaan.

Namun begitu, katanya, kebanyakan pramugari biasa yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diserapkan ke kategori pramugari penyelia selepas tujuh atau lapan tahun bekerja.

"Kebanyakan mereka akan dinaikkan pangkat. Jadi, apabila mereka mencapai tahap penyelia, mereka boleh teruskan dengan tugas hingga usia 45 and kemudian sebagai `ground staff' sehingga usia 55 tahun," katanya.

Menurut laporan Bernama, Chan berkata, beliau gembira kerana kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan menyatakan keyakinannya kakitangan kabin MAS akan berkhidmat dengan semangat yang lebih tinggi lagi.

Peraturan baru

"Sehingga sekarang, mereka telah memenangi pelbagai anugerah dan pujian kerana standard tinggi perkhidmatan kabin. Bersama peraturan baru ini, kami berharap ia bukan sahaja dapat dikekalkan tetapi dipertingkatkan lagi," katanya.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu kini menggajikan 5,186 kakitangan kabin, termasuk 2,950 pramugari.

Kepada satu soalan, Chan berkata seseorang pramugari tidak lagi boleh meneruskan dengan tugas apabila memasuki suku pertama kehamilan dan akan bercuti tanpa gaji sehingga bersalin. Selepas itu beliau akan bercuti pantang selama dua bulan dengan gaji.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Tindakan Semua Wanita (Awam), Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO) dan Kolektif Pembangunan Wanita (WDC) telah meminta terma dan syarat perkhidmatan bagi pramugari-pramugari MAS dikaji semula.

Ini membawa kepada perbincangan antara MAS dan pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan juga mereka dari Maseu.

Sebelum ini, MAS dibidas kerana membuang kerja seorang pramugari yang hamil pada 1991 selepas beliau enggan bersara mengikut terma-terma yang dinyatakan dalam perjanjian kolektif bersama dengan syarikat penerbangan itu yang bertarikh 3 Mei 1988.