Khairy: Pelajar boleh sertai aktiviti Putera Umno dengan kebenaran universiti
Pelajar universiti boleh menyertai sebarang aktiviti Biro Putera Umno dengan memohon kebenaran atau surat pelepasan daripada pihak universiti masing-masing terlebih dahulu, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Pelajar universiti boleh menyertai sebarang aktiviti Biro Putera Umno dengan memohon kebenaran atau surat pelepasan daripada pihak universiti masing-masing terlebih dahulu, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Pelajar universiti boleh menyertai sebarang aktiviti Biro Putera Umno dengan memohon kebenaran atau surat pelepasan daripada pihak universiti masing-masing terlebih dahulu, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Katanya, walaupun pelajar universiti tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pembabitan mereka dalam parti politik tetapi mereka boleh mendapatkan kebenaran itu daripada pihak universiti sebelum menyertai aktiviti tersebut.
Menurut laporan Bernama, Khairy mengakui aktiviti Putera Umno seperti sukan lasak dan aktiviti kemasyarakatan memang menepati citarasa belia yang berumur antara 18 dan 25 tahun, termasuk pelajar universiti.
"Kalau kita tubuhkan Putera Umno atau apa sahaja yang dijalankan oleh Pemuda tak pernah melanggar undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelancaran Putera Umno di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam.
"Tak salah untuk terlibat dalam kegiatan Putera Umno (kerana) kita ikut peraturan dan undang-undang," katanya ketika ditanya sama ada aktiviti Putera Umno akan melibatkan pelajar universiti.
Mengenai reaksi pembangkang yang menganggap penubuhan biro itu sebagai tidak adil kepada mereka, Khairy menyifatkan Pemuda Umno sebagai cukup bertuah kerana mendahului pembangkang dalam mendekati generasi muda Melayu, walaupun itu dianggap oleh pembangkang sebagai "satu kelebihan yang tidak adil".
Dampingi generasi muda
Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pernah menyatakan sebelum ini bahawa penubuhan biro itu tidak bersifat politik tetapi sebaliknya akan memberi fokus kepada usaha mendampingi generasi muda Melayu, terutama di luar bandar yang menghadapi pelbagai masalah tersendiri.
Mengenai majlis pelancaran Putera Umno di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 19 Jun ini, Khairy berkata ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno.
Katanya majlis pelancaran itu dijangka dihadiri 22,000 orang termasuk menteri kabinet, anggota Majlis Tertinggi Umno serta para exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.
"Ini adalah titik permulaan Putera Umno, iaitu satu institusi yang telah ditubuhkan di bawah naungan Pemuda Umno itu sendiri (dan) untuk mengelakkan dari sebarang kekeliruan, Putera Umno bukanlah sayap baru (parti)," katanya.
Putera Umno juga menyasarkan peningkatan 30 peratus keanggotaannya menjelang hujung tahun ini.
Pada masa ini, ia mempunyai 107,000 anggota yang terdiri daripada anggota pergerakan Pemuda Umno yang berumur antara 18 dan 25 tahun, atau 16 peratus daripada 654,000 anggota Pemuda Umno.
Diminta mengulas isu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikritik kononnya beliau tidak berbuat apa-apa untuk memerangi rasuah ketika beliau menjadi perdana menteri, Khairy menyatakan sokongan kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan perbuatan pihak terbabit sebagai pengecut dan tidak boleh diterima.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.