Pemuda PAS mahu diwujudkan kouta bagi ulamak muda menganggotai dalam Majlis Syura untuk memberi nafas baru kepada majlis tersebut yang kini umpama "hidup segan mati tak mahu".

Sambil menegaskan bahawa langkah itu perlu dilakukan mulai sesi akan datang, Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, ini penting dalam proses membina generasi pelapis.

Katanya, majlis tersebut berperanan untuk mengeluarkan hukum berhubung isu-isu semasa umat Islam, menangani serangan pemikiran ke atas umat Islam dan menghuraikan status produk perbankan.

Sebaliknya, beliau kecewa kerana majlis tersebut hanya sekadar memutuskan penyertaan wanita dalam pilihanraya atau memberi perakuan menjadi calon parti atau mengenai status hubungan dengan bukan Islam sahaja.

Menurutnya, proses memperkasakan majlis itu tidak diberi perhatian, terutama membina barisan ulama pelapis dan proses penggalian ilmu syariah dan aplikasi hukum dengan keperluan semasa.

Salahuddin menegaskan demikian dalam ucapan dasarnya di muktamar tahunan Pemuda parti itu di Kota Bharu malam tadi, yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti Senator Hassan Shukri.

Selain menetapkan kuota ulama muda mengganggotainya, Salahuddin berkata, majlis itu juga diberi wajah baru dalam tempoh lima tahun akan datang supaya ia lebih dihormati bukan sahaja oleh ahli parti tetapi juga masyarakat.

Teguran terbuka

Dalam masa yang sama, katanya, pusat penyelidikan parti, jabatan pilihanrayanya, teknologi maklumat dan lujnah-lujnah (biro) yang lain juga perlu diberi perhatian bagi menjana kekuatan jentera parti untuk menjenamakan PAS sebagai parti yang memperjuangkan nasib rakyat.

Salahuddin juga secara terbuka menegur sesetengah pemimpin parti PAS yang menurutnya, mulai hanyut dalam dunia kebendaan dan gagal menghayati sikap kesederhaan dan teladan yang ditunjukkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Beliau mendakwa, ada segelintir pemimpin parti itu kini selesa memandu kereta mewah, membina mahligai yang hebat, tidur di hotel ternama dan terpesona dengan gelaran.

"Mereka tidak lagi merasai keperitan hidup rakyat, kemiskinan petani, penderitaan setinggan, kesempitan peneroka, kesulitan nelayan, kelaparan buruh dan pengguna yang sengsara," katanya.

Sambil menegaskan bahawa sikap peduli rakyat di kalangan pimpinan parti PAS sudah merosot, beliau berharap elemen tasawuf dapat dikembangkan semula di kalangan ahli dan pimpinan parti supaya mereka tidak dihinggapi "penyakit cintakan dunia dan bencikan mati".

Sebaliknya, tegas beliau, hubungan dengan rakyat mesti menjadi agenda utama perjuangan setiap ahli parti itu.

Selain itu, kata Salahuddin, PAS juga diancam krisis perpaduan dengan budaya baru seperti perbuatan cantas mencantas, memfitnah dan mewujudkan puak-puak tertentu dalam parti.

Konsep kepimpinan ulamak

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Hasan mengakui bahawa jawatan utama dalam PAS tidak semestinya terhad kepada mereka yang bergelar ulamak atau ustaz sahaja.

"Kepimpinan ulamak adalah konsepnya sahaja. Pemimpin tidak semestinya terdiri daripada orang yang berpelajaran agama sahaja," katanya.

Menurutnya, semua saranan termasuk perubahan kepada pemilihan perwakilan akan dilaksanakan dalam muktamar parti akan datang pada 2007.

Mengenai persediaan menghadapi pilihanraya umum akan datang, Hasan meminta semua cawangan supaya lebih aktif menarik ahli baru bagi meningkatkan sokongan terhadap PAS.

"Saya cadangkan setiap cawangan menarik sekurang-kurangnya tiga ahli baru setiap bulan," katanya.

Hassan juga berkata, PAS akan juga mencadangkan supaya pilihanraya bagi memilih kerajaan dijalankan berdasarkan sistem peratusan seperti yang dilaksanakan di Indonesia.

"Kalau berlaku di Malaysia, dalam pilihanraya lepas, PAS boleh mendapat lebih banyak kerusi daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata cadangan itu pernah dikemukakan kepada kerajaan pada awal tahun 1970-an tetapi telah ditolak oleh Tun Abdul Razak Hussein selaku Perdana Menteri ketika itu.