Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Thammarak Isarangura berkata Malaysia tidak melindungi pengganas dari selatan Thailand.

Katanya, Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra tidak pernah membuat tuduhan itu seperti yang dilaporkan oleh media.

Ia (laporan itu) tidak tepat...apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri (Thaksin) ialah terdapat beberapa pesalah yang melintasi sempadan ke Malaysia selepas melakukan jenayah," katanya.

Thammarak menjelaskan demikian dalam sidang media bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mereka mempengerusikan mesyuarat ke-45 Jawatankuasa Sempadan Bersama di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Thaksin dilaporkan menuduh Malaysia melindungi pengganas dari selatan Thailand serta membenarkan mereka menjalani latihan ketenteraan di beberapa tempat di Malaysia.

Menurut laporan Bernama , Najib pula berkata sebarang permintaan untuk mengekstradisi pengganas akan dibuat berdasarkan hubungan dua hala.

Selatan Thai membimbangkan

Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan membantu selatan Thailand ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan di kawasan itu, termasuk mengawal kawasan sempadan dan bertukar maklumat risikan untuk menangani keganasan dan jenayah.

Thammarak pula berkata usaha akan ditumpukan ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan di selatan Thailand sebelum memajukan soal pendidikan dan ekonomi.

Sejak akhir-akhir ini, selatan Thailand menyaksikan beberapa kejadian letupan bom.

Mesyuarat itu bertujuan meningkatkan kerjasama bagi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan di sempadan bersama dengan menyelesaikan sebarang masalah dua hala selain memajukan dan menggalakkan perkara-perkara kepentingan bersama di kawasan sempadan.

Najib berkata mesyuarat hari ini melahirkan rasa bimbang dengan keadaan di selatan Thailand kerana ia mempunyai kesan besar terhadap kegiatan sosial dan ekonomi di kawasan sempadan.

Mesyuarat berikutnya akan diadakan di Thailand pada Mei tahun depan.