ABL: Malaysia Dragons kejar kemenangan pertama
SUKAN Kekalahan teruk buat Westports Malaysia Dragons kepada Singapore Slingers dalam perlawanan pembukaan bulan lalu cukup membimbangkan ramai peminat terhadap prestasi mereka dalam musim ini.
Dragons dikalahkan oleh Slingers dengan 18 mata, 80-62 pada November lalu sebelum berehat selama 22 hari sempena kejohanan Piala Agong yang baru tamat di Bintulu, Sarawak minggu lalu.
Ramai pemain tempatan seperti Ma Chee Kheun, Kuek Tian Yuan, Wong Yi Hou, Choo Wei Hong, Ivan Yeo turut menyertai kejohanan tersebut.
Dua puluh dua hari berlalu, pasukan Malaysia masih kurang bersedia untuk menyaingi pasukan lain terutamanya dua pasukan teratas dalam liga, Hong Kong Eastern Long Lions an Singapore Slingers.
Walaupun bergelar juara pada musim yang lalu, Dragons tidak bersedia untuk menghadapi musim ABL yang baru. Barisan pemain baru sahaja bersedia dua bulan sebelum musim baru, dan beberapa pemain tempatan pula 'terpaksa' menyertai kejohanan lain dengan kelab profesional tempatan.
Bagaimana Dragons mampu membina kekuatan pasukan tanpa latihan yang mencukupi?
Sungguhpun begitu, satu-satunya wakil pasukan Malaysia masih menaruh harapan yang tinggi walaupun berdepan pelbagai rintangan untuk berdepan pasukan lain dan juga idaman Malaysia mendapat pingat untuk Sukan Sea 2017 nanti.
Selang dua perlawanan lalu, Saigon Heat tumpas dalam dua pertemuan dengan Hong Kong Long Lions dan Singapore Slingers di gelanggangnya sendiri. Ramai yang sedia maklum, penyokong Heat selalunya akan memenuhi stadium CIS Arena di bandaraya Ho Chi Minh, malah ada juga penyokong yang sering 'mengapi-apikan' pasukan lawan.
Bekas pemain import Hi-Tech Bangkok City, Chris Charles terpaksa berehat selepas kecederaan minggu lalu menentang Hong Kong Long Lions dan digantikan dengan Herbert Hill. Charles menjaringkan 29 mata dan 10 rebounds.
Bukannya mudah, dua pasukan ini yang bakal berentap di Vietnam masih mencari kemenangan yang pertama sebelum tirai tahun 2016 dilabuh. Ketika ditemui Malaysiakini, ketua pasukan Dragons, Ma Chee Kheun mengakui persediaan Dragons tidak mencukupi dan meletakkan mereka dalam situasi yang agak sukar.
"Saya percaya berbekalkan kekuatan sinergi kerja berpasukan, Dragons mampu membawa kembali kemenangan pertama. Kekalahan itu adalah suatu pengajaran walaupun kami hanya 70 peratus bersedia menentang Saigon Heat.
"Musim baru ini bermula dengan tiga import - Skylar, Melvin dan Freddie. Namun, ini bukanlah kekurangan untuk Dragons tetapi peluang untuk pemain tempatan untuk berusaha bertungkus-lumus untuk meningkatkan prestasi pasukan. Dragons akan kembali lebih mantap," kata Ma kepada Malaysiakini.
Malaysia Dragons akan berentap dengan Saigon Heat di CIS Arena, bandaraya Ho Chi Minh pada pukul 5 petang (6 petang waktu Malaysia) dan juga ditayangkan secara langsung di YouTube Asean Basketball League.

