Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar naib ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong yang menyarankan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan dipertimbangkan semula, yang menyentuh kedudukan orang Melayu.

Kenyataan itu, tegas Syed Ali, amat berbahaya "yang seolah-olah berbau hasutan dan boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara orang Melayu dengan bukan Melayu".

Syed Ali juga menganggap pandangan Yong itu sebagai "mencabar" Umno.

"Pandangan itu terlalu biadab dan mencabar Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini," tegas Syed Ali dalam satu catatan blog semalam.

Sebelum itu, Yong dilaporkan berkata mungkin masanya untuk mempertimbangkan semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakan penilaian meritokrasi berbilang kaum yang adil dalam bidang sosial, pendidikan dan ekonomi negara.

Ini, kata Yong, adalah kerana orang Melayu kini mampu cemerlang dalam persekitaran yang kompetitif.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata tindakan Yong membuat saranan itu secara terbuka, jelas melanggar semangat setiakawan dan kesepakatan yang ditemerai di kalangan komponen BN.

"Ini tidak bagus, sudah tentu dia berniat jahat apabila mempertikaikan Perkara 153 yang sudah termaktub dalam perlembagaan di mana hak dan kedudukan orang Melayu tidak perlu dipertikaikan," tegasnya.

Syed Ali menggesa Yong menarik balik kenyataan itu, yang menurutnya, secara tidak langsung seperti mencabar pendirian dan prinsip Umno.

[Baca berita penuh]