'Bila jatuh cinta dengan pelarian'
Pendatang yang lari dari negara mereka yang dilanda peperangan telah menjadi tajuk utama sejak beberapa tahun yang lalu.
Perang di Syria menyebabkan puluhan ribu mengambil risiko bahaya menyeberangi laut dan sempadan di darat untuk menyelamatkan diri.
Dengan situasi peperangan yang berlarutan, pelarian menyeberangi lebih banyak sempadan untuk mencari perlindungan dan untuk membina semula kehidupan mereka.
Situasi ekonomi global yang lemah telah membawa kepada kekurangan layanan dan mereka tidak dialu-alukan di negara-negara lain, dengan ramai orang Eropah melobi kerajaan masing-masing supaya tidak menerima pendatang ini.
Di Asia Tenggara, Malaysia dilihat sebagai negara transit bagi pelarian, walaupun kegagalan kerajaan untuk mengesahkan piagam Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian mengenai perkara itu
UNHCR menganggarkan terdapat 150,669 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan agensi pelarian PBB di Malaysia.
Mereka datang dari Myanmar, Sri Lanka, Pakistan, Yaman, Somalia, Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin dan negara-negara lain.
Kira-kira satu perlima daripada pelarian di Malaysia adalah di bawah umur 18 tahun, kata UNHCR.
Ada yang telah tinggal di Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu, dengan keluarga mereka hidup dalam keadaan tidak menentu, tanpa izin dan terdedah kepada eksploitasi.
Yang lain-lainnya mencuba nasib di negara lain yang akan memberikan mereka permit untuk bekerja, dan akhirnya, memperolehi status penduduk.
Dalam proses itu, ada antaranya yang jatuh cinta dengan penduduk tempatan.
Seorang penghuni Kuala Lumpur berkongsi pengalaman jatuh cinta dengan orang pelarian:
Dia berusia 35 tahun, dan saya pula 31 tahun.
Kami jatuh cinta, tetapi saya berasa sedih kerana pasangan lain boleh merancang masa depan mereka - tetapi saya tidak boleh, kerana tidak kira apa yang kami lakukan, dia masih seorang pelarian.
Saya tidak pernah jumpa sesiapa pun yang berfikiran seperti saya.
Saya cuba keluar dengan orang lain, tetapi ia tidak menjadi, kerana mereka berfikiran sempit.
Saya suka cara dia berfikir, dan perbualan kami benar-benar mendalam, yang saya tidak pernah alami bersama orang lain.
Tidak kira apa yang kami lakukan, namun ianya sukar untuk menggambarkan masa depan kami bersama.
Dia tidak boleh menjadi rakyat Malaysia dan dia tidak boleh pergi ke tempat lain lagi.
Dan saya tidak boleh mengubah undang-undang mengenai pelarian di negara ini.
Kisah ini pertama kali disiarkan oleh Humans of Kuala Lumpur, satu projek oleh jurugambar Mushamir Mustafa dan Tabinda Shah. Ia disiarkan di Malaysiakini setiap hari Sabtu.

