Siar 'Berita palsu', Jerman ancam denda Facebook
Ahli politik Jerman mengambil pendekatan yang keras terhadap Facebook berkaitan dengan penyiaran "berita palsu," dan semalam mereka mengancam untuk mengenakan denda yang tinggi terhadap syarikat media sosial itu jika fitnah itu tidak dibuang.
"Kita sudah tentu juga perlu mengambil kira denda jika langkah-langkah lain tidak berkesan," Menteri Keadilan Jerman Heiko Maas dipetik sebagai berkata oleh harian Sueddeutsche.
"Penghinaan, hasutan dan fitnah tidak mempunyai tempat di Facebook," kata Maas, sambil menambah bahawa ancaman kewangan akan menjadi insentif yang kuat untuk tindakan pantas.
Thomas Oppermann, pemimpin Sosial Democratic Party (SDP) di parlimen Jerman, menggesa supaya "platform terkemuka di pasaran" seperti Facebook disyaratkan secara perundangan di Jerman untuk menubuhkan pejabat perlindungan yang beroperasi 24 jam di mana mangsa kebencian dan "berita palsu" boleh mengadu.
"Jika selepas membuat pemeriksaan dan Facebook tidak segera membuang mesej fitnah dalam tempoh 24 jam, maka Facebook dikenakan denda yang teruk sehingga 500,000 euro (523,000 dolar)," Opperman dipetik dalam mingguan Spiegel sebagai berkata.
Langkah selanjutnya, menurut Opperman, ialah Facebook mengedarkan atas permintaan mereka yang terjejas "satu pembetulan dengan jangkauan yang sama". [Baca berita penuh]
- dpa

