Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Alkisah 'Raja Troll' TTKM, ejek semua orang
Diterbitkan:  Dec 17, 2016 4:31 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

WAWANCARA Fenomena 'troll' tidak pernah padam di alam maya. Seperti idea yang tidak pernah putus, kaki-kaki troll juga muncul silih berganti di Twitter, Facebook.

Walaupun troll politik mencuri perhatian besar rakyat Malaysia, personaliti sukan dan artis juga turut menjadi bahan 'karya' mereka.

Antara yang popular sebelum ini termasuk “Bik Mama” yang menyindir isteri perdana menteri Rosmah Mansor, “Bernipu” dengan berita-berita palsu dan santai falsafah “Falsafahaha”.

Tetapi bagi Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM), kebanyakan 'troller' lain “tidak sama level” dengan mereka.

“Troll kami lebih berdedikasi dan kami menggunakan kemahiran aplikasi seperti Photoshop dan Premiere sebaik mungkin,” kata TTKM dalam wawancara bertulis bersama Malaysiakini baru-baru ini.

TTKM bagaimanapun enggan bersemuka secara langsung dengan portal ini dan memilih bersuara dalam gelap.

“Kami sembunyikan identiti kerana kami mahu jadi mysterious seperti Anynomous. Barulah cool bro!” katanya.

Siapa TTKM? Kenapa mereka suka troll orang? Apa matlamat mereka? Ikuti petikan wawancara dengan TTKM:

Malaysiakini: Tolong cerita sikit latar belakang TTKM.

TTKM: Ditubuhkan hasil kolaborasi idea beberapa anak muda bukan partisan sejurus peristiwa Langkah Kajang, Langkah Politik paling mengarut dalam sejarah politik Malaysia.

Kenapa buat page ini? Kenapa nak troll orang?

Kenapa buat page ini? Pertama sekali, kami ingin nyatakan bahawa page ini dibuat atas inisiatif sendiri atas rasa kebertanggungjawaban menyelamatkan negara daripada politikus penipu yang hanya mahu meraih undi, bukan untuk berbakti untuk rakyat.

Pada dasarnya bertujuan mematikan mainan persepsi yang melibatkan politik, agama dan perkauman bagi meraih undi yang dibuat oleh politikus (kami sebut mereka sebagai 'politaikus' - kami tambah 'taik' sebab mereka seperti itu) berserta page propaganda mereka.

Ia juga bertujuan untuk memperbodohkan 'politaikus', bersantai, bergelak ketawa di samping memberi input dan pendedahan kepada masyarakat tentang hipokrasi parti-parti 'politaik' dan 'politaikus'.

Kami juga bertujuan supaya 'politaikus' takut 'ditroll' dan mereka perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bodoh terhadap rakyat.

Kenapa nak troll orang?

Troll di TTKM bukan troll kosong. Ia ada mesej bertujuan untuk mematikan terus propaganda pihak yang ditroll. Ia pantas dan mudah diterima.

Troll atau perli-memerli ini pun sebenarnya tidak asing lagi dalam masyarakat Malaysia, hatta dalam filem-filem arwah Tan Sri P Ramlee lagi sudah ada mesej-mesej 'pentrollan' sebenarnya.

Malah troll P Ramlee lebih 'mendalam' sebenarnya jika kita tonton berulang kali.

Kami juga tidak hanya melakukan troll sahaja kerana ada juga posting yang berunsur cerpen satira, kritikan dan pendedahan tentang sesuatu isu.

Kadangkala, kami juga turun di lokasi demo untuk memberikan liputan secara langsung tanpa sensor.

Dari mana dapat idea buat TTKM?

Kami mendapat idea berdasarkan isu-isu politik dan isu-isu semasa yang sedang trending, atau mendapat input dari likers melalui PM (mesej peribadi). Idea itu kemudian akan dibincang bersama admin yang lain untuk penambahbaikan dari aspek jenaka, mesej dan sarcasm.

Bukan mudah untuk troll dengan efektif, dan kami bangga dengan kemahiran troll yang dimiliki oleh admin di TTKM.

Siapa yang gerakkannya? Kenapa sembunyi identiti? Adakah anda takut?

Digerakkan oleh beberapa anak muda profesional pelbagai kaum dari pelbagai latar belakang politik.

Kami sembunyikan identiti kerana kami mahu jadi mysterious seperti Anynomous. Barulah cool bro!

Kalau dengan troll ini TTKM kemudian disiasat SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), polis macam mana? Sedia? Dah fikir risiko habis-habis?

Sebab itu sebelum kami post apa jua troll kami melakukan study dan target, siapa yang mahu ditroll dan atas isu apa, kami bukan melakukannya secara semberono malah kami sedar level sensitiviti sesuatu isu.

Kami juga tidak pernah melakukan post berunsur fitnah, kerana semua berdasarkan fakta di mana kami akan meletakkan sumber dari mana.

Kami tidak menggunakan sumber seperti yang digunakan oleh agensi berita lain, mahupun Malaysiakini seperti "sumber yang dipercayai" atau "sumber yang enggan dinyatakan".

Kami sedar risiko, kerana kami tahu troll yang efektif mampu membawa mesej secara cepat dan kuat. Lagipun, bukan mudah untuk maintain page FB yang troll semua pihak.

Kaki troll lain, siapa yang TTKM suka?

Jika anda merujuk kepada page troll politik, kebanyakannya adalah dinaungi 'politaikus' dan parti 'politaik'. Kadangkala mengampu berlebihan dan mengandungi unsur fitnah. Bagi kami troll mereka kebanyakannya sucks, tidak sama level dengan TTKM.

Troll kami lebih berdedikasi dan kami menggunakan kemahiran aplikasi seperti Photoshop dan Premiere sebaik mungkin.

Setakat ini, tiada yang kami suka kecuali satu page Falsafahaha, tetapi sayang page tersebut kini telah ditutup.

Esok: 'Arorra feat Ahmad Maslan' troll paling laku

Lihat Komen
ADS