Jui Meng masih bersemangat untuk berkhidmat pada parti
Terjemahan Tiada petanda yang menunjukkan bahawa pemimpin veteran MCA Datuk Chua Jui Meng akan bersara daripada politik. Sebaliknya, ada tanda-tanda yang beliau mungkin sedang bersiap sedia untuk bertanding jawatan lebih tinggi dalam pemilihan parti akan datang.
Terjemahan Tiada petanda yang menunjukkan bahawa pemimpin veteran MCA Datuk Chua Jui Meng akan bersara daripada politik. Sebaliknya, ada tanda-tanda yang beliau mungkin sedang bersiap sedia untuk bertanding jawatan lebih tinggi dalam pemilihan parti akan datang.
"Saya menganggap diri saya masih di tahap terbaik, masih boleh menyumbang dalam apa bidangpun. Orang tahu rekod prestasi saya. Saya lakukan apa yang saya cakap. Saya sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan," kata Chua dalam satu pertemuan dengan malaysiakini awal minggu ini.
Sejak bekas menteri kesihatan itu digugurkan daripada kabinet tahun lalu, naib presiden MCA itu seperti menjauhi publisiti dan menolak diwawancara pihak media, dengan menegaskan yang beliau hanya akan bercakap apabila kena pada masanya.
Awal minggu ini, beliau mengekalkan jawatan ketua MCA bahagian Bakri di Johor, tanpa bertanding. Beliau juga sebelum ini, telah mengingatkan ahli-ahli parti bahawa umur bukan menjadi faktor untuk menentukan kemampuan seorang pemimpin bertanding jawatan parti.
Chua bagaimanapun, menafikan yang beliau sengaja membangkitkan isu umur itu untuk kepentingan dirinya sendiri, sambil menjelaskan bahawa ia tiada kena mengena dengan desas-desus yang menyatakan beliau akan bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti.
"Tiada (kena mengena) langsung. Sama ada saya bertanding atau tidak, ianya tidak penting. Saya mengulas mengenainya kerana jika anda lihat pada latarbelakang para aktivis, mereka adalah golongan yang dianggap sebagai orang tua oleh orang muda. Tetapi mereka inilah yang bekerja kuat di peringkat akar umbi," katanya.
Sokongan bahagian Bakri
Chua yang dianggap sebagai "orang yang perlu diperhatikan" menjelang pemilihan parti itu tahun ini, telah menjadi sasaran spekulasi mengenai kemungkinan beliau mencabar Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting.
Awal minggu ini, MCA bahagian Bakri telah meluluskan resolusi menyokongnya Jui
untuk bertanding sebarang jawatan tinggi parti dalam pemilihan kali ini tetapi Chua tidak mahu menyentuh mengenai perkara itu.
"Sudah pastinya mereka mempunyai hajat mereka sendiri, itu sifat semulajadi. Terpulang kepada saya untuk membuat keputusan, mereka pun memang menyedarinya. Saya perlu membuat keputusan (mengenainya). Mungkin mereka lebih berdebar-debar daripada saya sendiri," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau juga tidak pasti bilakah masa yang paling sesuai untuk mengumumkan keputusannya nanti.
"Serius, saya tidak tahu, (hanya) Tuhan yang tahu," katanya ahli politik berusia 62 tahun itu, yang kini aktif dalam kegiatan keagamaan sejak tahun lalu selepas peristiwa penculikan anak lelakinya.
Terdapat desas-desus yang mengadakan pejabat beliau yang terletak di Sri Hartamas bakal dijadikan pusat operasinya menjelang pemilihan parti itu.
"Tidak, (pejabat ini) adalah untuk perniagaan. Saya tidak mahu mewujudkan pusat operasi yang semua orang tahu di mana tempatnya," katanya sambil ketawa.
Mengenai desas-desus bahawa beliau dan seorang lagi naib presiden, Datuk Dr Fong Chan Onn serta setiausaha agung, Datuk Dr Ting Chew Peh akan diletakkan di bawah 'kategori persaraan' pemimpin MCA, Chua berkata, pemimpin besar China seperti Deng Xiaoping, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat memberi sumbangan walaupun mereka dilihat sebagai "sudah berumur" oleh golongan muda.
"Jadi, hujah berhubung isu umur itu adalah dangkal. Umur tidak sepatutnya dijadikan satu kriteria, yang penting ianya adalah mengenai kemampuan untuk membuat sumbangan," katanya.
Tiga pilihan Chua
Apakah masa depan Chua, selaku seorang pemimpin veteran parti, dalam MCA selepas menjadi naib presiden parti itu sejak tahun 1990?
Nampaknya, beliau mempunyai tiga pilihan mempertahankan jawatan naib presiden, bertanding jawatan timbalan atau jawatan presiden, atau bersara terus daripada politik.
Bagaimanapun, Chua dijangka tidak akan bersara daripada politik kerana itulah yang dikatakannya. Dan sekiranya beliau berhasrat untuk bersara dalam masa terdekat ini, sudah tentunya beliau tidak terus memimpin bahagian Bakri, kata seorang pemerhati politik.
"Nampaknya, Chua masih mempunya cita-cita untuk memainkan peranan lebih tinggi dalam politik," tambahnya.
Sekiranya Chua memutuskan untuk mempertahankan jawatan naib presiden, beliau mungkin berdepan dengan cabaran sengit kali ini kerana sembilan lagi pemimpin kanan MCA dijangka turut menawarkan diri.
Pada tahun 2002 Chua disebut-sebut akan mencabar Presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik tetapi ianya tidak menjadi kenyataan selepas satu rancangan damai dirangka bagi mengelak krisis dalaman parti.
Sepanjang tiga tahun parti itu dilanda krisis dalaman, MCA berpecah kepada dua puak Team A diketuai Ling dan Team B yang diterajui timbalannya ketika itu, Datuk Lim Ah Lek dan Chua menyokong Team B.

