Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli Umno yang didapati bersalah melanggar perlembagaan parti dan gagal dalam rayuan mereka, perlu melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.

"Ya...dalam parti dan kerajaan," kata Timbalan Perdana Menteri ketika ditanya sama ada ahli yang terlibat perlu mencontohi langkah Datuk Amid Nordin melepaskan jawatan Exco Kerajaan Melaka semalam setelah beliau didapati bersalah kerana terlibat dengan politik wang pada pemilihan parti yang lalu.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno menyanjung tindakan Amid melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri.

"Maknanya kita menyanjunglah bahawa dia menghormati keputusan yang telah dibuat oleh parti melalui Majlis Tertinggi (MT)," katanya selepas merasmikan majlis penutup Seminar Penjanaan Input untuk Penyemakan Peraturan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno di Putrajaya hari ini.

Mesyuarat MT Umno Rabu lalu mengesahkan keputusan panel rayuan parti yang menolak rayuan 17 pemimpin Umno, termasuk tujuh ketua bahagian, kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang dalam pemilihan cawangan dan bahagian tahun lalu.

Lepas jawatan

Menurut laporan Bernama , selain melepaskan jawatan anggota Exco, Amid turut melepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Melaka tetapi kekal sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Telok Mas.

Najib berkata MT telah memberi peluang kepada ahli berkenaan untuk membuat rayuan dan apabila rayuan telah muktamad, seseorang yang disabitkan kesalahannya perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Beliau menyifatkan Amid sebagai seorang yang taat kepada parti serta memahami dasar-dasar parti dan tindakannya itu perlu dicontohi.

"Sudah menjadi dasar parti dan dia (Amid) sebagai seorang ahli parti yang taat pada parti telah melakukan perkara yang dikehendaki oleh parti.

"Dan kita ucap terima kasih kepada dia dan kita harap dia akan terus memberikan sumbangan dalam parti," kata Najib.