PAS sedia muzakarah dengan Umno dan BN tanpa syarat
PAS bersedia menghadiri siri muzakarah dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengadakan dalam usaha menyelesaikan beberapa masalah dan perbezaan pandangan politik masing-masing khususnya mengenai Islam Hadhari.
PAS bersedia menghadiri siri muzakarah dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengadakan dalam usaha menyelesaikan beberapa masalah dan perbezaan pandangan politik masing-masing khususnya mengenai Islam Hadhari.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon supaya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno mengambil perhatian terhadap usaha itu, selain meneliti lapan lagi saranan PAS mengenai pengurusan kerajaan dan kepentingan rakyat.
"Muzakarah bersiri ini hendaklah disiarkan secara langsung melalui media elektronik dan dipaparkan secara adil di dada media cetak," kata beliau dalam ucapan dasar ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke- 51 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Ketika bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abdul Hadi berkata muzakarah itu boleh menjadi paltaform untuk kedua-dua parti membincangkan pelbagai isu termasuk agama dan ekonomi.
"Harap Perdana Menteri bersedia kali ini," katanya sambil menambah, PAS tidak akan mengenakan syarat bagi menjayakan muzakarah tersebut.
Abdul Hadi berkata jemputan bermuzakarah dengan Umno bukanlah perkara baru kerana PAS pernah menyarankan demikian sebelum ini sejak tahun 1980-an ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Malah, sebuah jawatankuasa teknikal yang dianggotai wakil kedua belah parti telahpun mengadakan siri pertemuan bagi membincangkan persediaan mengadakan muzakarah tersebut.
Bagaimanapun, usaha tersebut akhirnya gagal menjadi kenyataan, selepas parti pembangkang itu mengenakan beberapa syarat, termasuk mendesak dikembalikan royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu yang ketika itu diperintah oleh PAS.
'SPR mesti benar-benar bebas'
Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Hadi turut mengusulkan supaya pilihanraya akan datang menggunakan sistem perwakilan berkadar sesuai dengan iklim politik negara.
"Jika sistem ini dilaksanakan, pilihan raya umum 1999 menyaksikan PAS dan BA (Barisan Alternatif) berjaya memenangi hampir 80 kerusi Parlimen berbanding dengan hanya 42 di bawah sistem yang ada," katanya.
Di samping itu, katanya, PAS juga mendesak kerajaan supaya melaksanakan beberapa peraturan pilihanraya yang boleh meningkatkan imej kedemokrasian sebenarnya.
Antara desakan tersebut ialah menerima kehadiran pasukan pemerhati antarabangsa seperti amalan kebanyakan negara; menerima prosedur mengesan pengundi supaya tidak mengundi berulang kali; membersihkan daftar pemilih, yang sejak dahulu diragukan kesahihannya; serta membebaskan SPR daripada sebarang campur tangan Umno-BN dengan meletak SPR bertanggungjawab langsung kepada Parlimen;
Selain itu, beliau juga mendesak kerajaan supaya memperuntukkan 'masa siaran' yang saksama antara Umno-BN dengan parti pembangkang, di samping melarang menggunakan saluran media tersebut sebagai alat berkempen kerajaan.
Hadi juga menggesa supaya menentukan sebarang petisyen pilihanraya yang dibawa ke mahkamah diadili secara telus, amanah, bermartabat dan bermaruah, dan menentukan supaya Umno-BN tidak menggunakan sewenang-wenangnya jentera kerajaan untuk tujuan menyokongnya ketika pilihanraya.
"PAS mendesak Perdana Menteri supaya usaha memerangi rasuah dan segala salah gunakuasa yang berleluasa di negara ini tidak hanya retorik. Kes 18 individu kenamaan berprofil tinggi mesti segera didedahkan.
"PAS juga menuntut supaya kerajaan menghentikan segera segala tindakan provokatif polis menyekat secara tidak bermaruah aktiviti sah yang melibatkan parti pembangkang," katanya.
Hadi berkata, PAS juga menuntut kerajaan supaya menghentikan segera tindakan menafikan ahli dan guru agama yang diterima secara popular oleh rakyat untuk menyalurkan ilmu agama di masjid, surau dan madrasah.
Hentikan fahaman hedonisme
"PAS juga mahukan kerajaan menghentikan tindakan provokasi dan ugutan pimpinan mereka ke atas pelajar IPT dalam dan luar negara di samping secara terang-terangan cuba mengumnokan mereka;
Presiden PAS itu turut menyentuh mengenai fahaman hedonisme yang menular di kalangan muda-mudi sambil menggesa kerajaan supaya menghentikan serta merta segala acara yang menyuburkan fahaman tersebut dan berusaha menjadikan mereka khazanah terpenting negara yang bersendikan akhlak dan moraliti.
"PAS juga menuntut kerajaan membawa ke muka pengadilan golongan yang mencemuh ajaran Islam sebenarnya dengan cuba membawa faham sekular liberal Barat, khususnya di bidang penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agama di negeri-negeri.
Di samping itu, beliau juga menasihatkan kerajaan supaya segera merealisasikan pendemokrasian sistem pendidikan dengan membuka ruang luas kepada aliran pendidikan agama dan bahasa ibunda tanpa sikap prejudis dan wujudnya agenda tersembunyi.
Mengenai prestasi buruk PAS dalam pilihanraya umum 2004, Abdul Hadi turut menggariskan tujuh langkah yang perlu dilaksanakan oleh parti itu bagi memulihkan imejnya supaya menjadi pilihan utama pengundi dalam pilihanraya akan datang.
Antara langkah tersebut ialah menggandakan latihan ahli PAS supaya berdaya saing; menekankan konsep bekerja dengan bijak untuk memperkasakan parti; memastikan penyaluran maklumat secara efektif; menyemarakkan derma jihad bagi mengumpul dana; menambah keahlian di kalangan generasi muda; menubuhkan saluran media sendiri seperti web TV, radio, laman web dan saluran teknologi lain dan mewujudkan kerjasama dengan pakatan parti
pembangkang lain.
Merujuk kepada prestasi buruk PAS pada pilihan raya lepas, beliau mengakui ianya disebabkan parti itu kurang diberi sokongan oleh pengundi bukan Melayu, pengundi muda dan pengundi atas pagar.
Abdul Hadi juga mengakui PAS sukar untuk menewaskan Umno dan BN dalam politik negara kecuali ia mengatsi kelemahannya dan semua anggota parti bergerak seiring dalam perjuangan mencapai matlamat.
Faktor Anwar Ibrahim
"Bagi saya tidak ada orang baru atau orang lama dalam harakah kita, tidak ada pemisahan ulama dan profesional, tidak ada yang sekular dan ahli agama," katanya.
Presiden PAS itu juga mengakui parti itu tidak boleh memerintah negara ini secara bersendirian dan perlu berpakat dengan parti-parti lain.
Menurutnya, PAS perlu mengikut perkembangan semasa dan memerlukan gabungan semua
kumpulan termasuk bukan Islam untuk memerintah negara dan menjalin kerjasama termasuk dengan individu tertentu dalam usaha membawa perubahan pada masa depan.
Sambil menyatakan kesediaan parti itu berbuat demikian mengikut kehendak rakyat, Abdul Hadi berkata, PAS sedia bekerjasama dengan semua parti termasuk Umno dan DAP dan bukan hanya terhad kepada bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan muktamar PAS itu, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan lagi memandangkan tempoh bagi mengadakan pilihanraya umum masih jauh lagi.
Ketika ditanya adakah PAS mahu melihat Anwar mengetuai satu barisan alternatif bagi mencapai tujuan itu, Abdul Hadi berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana PAS bersikap terbuka demi memenuhi kehendak rakyat.
Abdul Hadi juga menolak andaian bahawa kesemua ahli PAS tidak mahu menerima Anwar memandangkan beliau mendapat maklumat bahawa Anwar mahu dibawa semula ke dalam arus politik perdana.
Pemilihan akan diadakan esok dengan menyaksikan 1,100 anggota perwakilan mengundi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan anggota jawatankuasa PAS Pusat.

