Annuar: Budaya PAS sembunyi masalah parti, makan diri sendiri
Budaya menyembunyikan masalah dalaman dan lebih suka mengkritik orang luar yang diamalkan PAS selama ini akhirnya memakan diri sendiri dengan wujudnya kumpulan "anai-anai" yang cuba merosakkan parti itu dari dalam, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Annuar Musa.
Budaya menyembunyikan masalah dalaman dan lebih suka mengkritik orang luar yang diamalkan PAS selama ini akhirnya memakan diri sendiri dengan wujudnya kumpulan "anai-anai" yang cuba merosakkan parti itu dari dalam, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Annuar Musa.
Menurutnya, pendekatan parti pembangkang itu terlalu menjaga imej dan seolah-olah mereka tidak ada masalah.
"Apa yang berlaku mereka tidak sedar dengan masalah dalaman ini kerana terlalu leka mengkritik orang lain, asyik pandang ke luar dan suka menyembunyikan apa yang berlaku di dalam.
"Anai-anai macam itulah sifatnya, ada dalam tiang, dalam dinding. Macam rumah kita cat di luar untuk bagi elok tapi anai-anai ada dekat dalam, ia tetap akan memberi masalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan badan berkenaan di Kota Bharu hari ini.
Perwakilan Pemuda PAS Pulau Pinang semalam mendedahkan wujudnya kumpulan tertentu yang bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cenderung mengukuhkan kedudukannya menjadi ketua di kalangan pembangkang, tindakan yang disifatkan sebagai anai-anai untuk merosakkan PAS.
Dicemari fitnah
Menurut laporan Bernama, Annuar berkata, rakyat sepatutnya sedar pendedahan mengenai masalah itu sebagaimana yang didedahkan pada sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemudanya di Muktamar PAS semalam, yang jelas menunjukkan banyak amalan dalam parti itu yang tidak telus.
"Berbeza dengan Umno, dalam Umno apa-apa masalah kita dedahkan walaupun kita tahu bila didedahkan musuh politik akan menggunakannya sebagai isu, tapi itu membuktikan kita lebih telus. Contohnya isu politik wang, semua rakyat tahu. Kita dedah supaya ada proses untuk kita buat pemulihan.
"Tetapi apa yang berlaku dalam PAS seolah-olah mereka tidak ada masalah sedangkan kita lihat sekarang pemilihan PAS juga ada politik wang, dicemari fitnah dan wujudnya puak-puak yang berbeza, itu yang timbul pelbagai masalah," katanya.
Mengulas muktamar PAS yang akan berakhir Ahad ini, beliau berkata Umno akan memerhati dari dekat setiap perkembangan yang berlaku dalam parti itu.
"Kita akan lihat dari dekat perubahan kepimpinan yang berlaku dalam PAS dan pendekatan yang diambil mereka. Jadi Umno akan ambil pendekatan yang lebih proaktif dari apa yang dibuat mereka," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.