Kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Gani, Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebenarnya jahil dalam ilmu kira-kira.

Bercakap kepada media sempena sambutan ulang tahun ke-20 laluan LRT jajaran Ampang hari ini Johari berkata Rafizi keliru apabila terus mendakwa kos pembinaan rangkaian pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) melebih RM100 bilion.

Kata Johari, perkiraan yang dibuat bekas pegawai kanan Petronas itu tidak sama dengan penjelasan diberi kerajaan.

"Sebenarnya dia (Rafizi) tak reti kira.

"(Kerajaan) cakap RM21 bilion (kos binaan MRT itu adalah) dari Sungai Buloh ke Kajang.

"Dia (Rafizi) kira dari Sungai Buloh ke Semantan. (Kos disebut kerajaan sebanyak) RM21 bilion adalah dari Sungai Buloh ke Kajang," katanya.

Sebelum ini Rafizi bertegas dengan dakwaannya bahawa kos pembinaan MRT melebihi RM100 bilion.

Malahan, semalam Malaysiakini melaporkan naib presiden PKR itu mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan saman ke atasnya jika beliau salah perkiraan mengenai kos pembangunan MRT.

"Saya cabar Najib untuk saman saya di mahkamah dalam masa tujuh hari jika benar jumlah kos projek MRT melibatkan 150 kilometer tidak melebihi RM100 bilion.

"Jika beliau tidak memfailkan tuntutan mahkamah itu dalam tempoh tujuh hari dari hari ini (20 Disember), saya mahu beliau memohon maaf kepada rakyat kerana kenyataan mengelirukan (projek MRT) berjaya berjimat RM2 bilion," kata Rafizi.

Pada 19 Disember pula Najib menafikan dakwaan pembangkang yang mendakwa kononnya projek MRT Laluan 1 Sungai Buloh -Kajang menelan belanja RM100 bilion.

Hakikatnya, jelas perdana menteri, kerajaan mampu melaksanakan projek mega malahan dengan kos lebih rendah iaitu RM21 bilion berbanding peruntukan yang disediakan RM23 bilion.

"Kita nak nafikan pembangkang yang kononnya projek ini menelan belanja RM100 bilion. Ini satu fitnah, satu hasutan dan hakikatnya BN telah melaksanakan projek MRT lebih rendah daripada bajet yang ditetapkan.

"Saya telah melancarkan fasa satu projek MRT ini yang siap mengikut jadual dengan kos projek lebih rendah daripada bajet disediakan RM23 bilion tetapi kita belanja RM21 bilion," katanya.

[Baca berita penuh]