Bapa tergilis anak di Pontian
Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun maut digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu ayahnya di sebuah kolej di Pulai Sebatang, Pontian, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Zakaria Abdul Rahman berkata dalam kejadian 11.40 pagi itu, pemandu tersebut tidak menyedari akan kehadiran anaknya yang berada di hadapan kenderaan ketika hendak memulakan perjalanan.
Katanya, tindakan tersebut menyebabkan kanak-kanak itu tergilis.
"Pemandu yang berasal dari Selangor itu datang ke Pontian untuk menguruskan urusan salah seorang anaknya ke sebuah kolej di Johor Bahru.
"Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian dan bedah siasat juga tidak dijalankan atas permintaan keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
- Bernama

