Kejadian tanah runtuh di Jalan Gua Musang-Cameron Highlands yang berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang semalam telah menyebabkan sebahagian jalan itu ditutup sehingga awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Ahmad Sofian Md Yassin berkata, jalan itu telah dibuka semula pada kira-kira jam 8 pagi ini setelah sisa runtuhan batu kapur yang menutupi satu lorong jalan itu dibersihkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kejadian tanah runtuh di Km 42 jalan itu dipercayai berpunca kerana hujan lebat yang berlaku setiap petang sejak kebelakangan ini tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, katanya.

Menurut Bernama, jalan itu merupakan laluan popular bagi kebanyakan pengguna jalanraya dari Kelantan ke Cameron Highlands atau ke Ipoh, Perak dan sebaliknya walaupun ia masih belum diwartakan untuk kegunaan awam.

Laluan itu mengurangkan masa perjalanan sehingga separuh berbanding jika menggunakan jalan lain.