Seorang bouncer atau pengawal sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu, dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja lebih seminggu lalu.

Mohd Azmin Lidin, 28, dari Kampung Cenderamata Likas di sini dituduh membunuh Yaacob Nasran, 18, dekat Siam Thai Bar, Jalan Asia City Kota Kinabalu antara 3.30 pagi dan 4.30 pagi pada 15 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 7 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp P Nathan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rakhbir Singh.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita warga emas, Chin Su Chin, 67, didakwa membunuh rakannya, Ngur Lim Kiau, 64.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kepayan Ridge dekat Kota Kinabalu kira-kira jam 3 petang pada 23 September dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Kakayun turut menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama