Gelagat kutip derma di majlis anjuran PAS ditegur perwakilan WP
Gelagat PAS yang sentiasa mengadakan kutipan derma dalam sebarang majlis yang dianjurkannya termasuk ceramah dan muktamar ditegur seorang perwakilan hari ini.
Gelagat PAS yang sentiasa mengadakan kutipan derma dalam sebarang majlis yang dianjurkannya termasuk ceramah dan muktamar ditegur seorang perwakilan hari ini.
Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yaakob berkata PAS sepatutnya mendidik anggotanya supaya merangka satu mekanisma yang kondusif bagi menjana ekonomi.
Sejak muktamar itu diadakan terutama pada hari kedua dan terakhir hari ini, Pengerusi tetap muktamar Abu Kassim Abdullah terus menerus mengumumkan jumlah derma yang diterima daripada perwakilan.
Katanya PAS tetap meneruskan cara tradisi kutipan derma tanpa mencontohi usaha yang dibuat oleh sebuah pertubuhan yang telah diharamkan kerajaan, Al-Arqam, dalam lapangan ekonomi.
"Sampai bila amalan derma ini hendak dibuat. Kita ambil contoh Al-Arqam yang mampu memperkasakan ekonominya sebelum dan selepas ia diharamkan," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong usul ulama berhubung akidah dan syariah pada muktamar parti itu yang masuk hari terakhir di sini.
Antara lain Dewan Ulama PAS Pusat mengusulkan supaya parti itu menggalakkan ahlinya terlibat dalam kegiatan ekonomi terutama untuk mengeluarkan produk halal bagi mengatasi krisis makanan halal sekarang.
Cipta mekanisme ekonomi
Menurut laporan Bernama , usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulama Mat Tormizi. Dewan itu juga mengusulkan supaya Majlis Syura Ulama parti itu supaya lebih aktif dengan mengeluarkan pendirian berhubung isu-isu berkaitan umat Islam.
Azhar berharap pimpinan parti itu dapat mencipta mekanisma bagi memperkasakan ekonomi parti dan anggotanya.
Katanya kedudukan ekonomi yang kukuh dapat menjadi tulang belakang untuk kepentingan perjuangan sesebuah organisasi.
Beliau juga mempersoalkan kenapa PAS gagal mengeluarkan sendiri produk halal untuk kegunaan umat Islam sedangkan parti itu berbangga mempunyai anggota hampir sejuta orang.
"Sampai bila kita hendak menjadi pengguna barangan keluaran orang lain sedangkan ia sepatutnya sudah lama diusahakan," katanya.
Azhar juga meminta Mufti dan Kadi di negara ini supaya tidak mendiamkan diri berhubung isu semasa yang menyentuh kepentingan umat Islam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.