Seorang pembantu politik DAP hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan bercanggah mengenai peruntukan untuk sekolah-sekolah rendah Cina di bawah Bajet Negara 2016.

Chong Zhemin menggesa polis menyiasat jika berlaku sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan dana RM50 juta, yang dakwanya kini "hilang".

Dalam satu kenyataan media, Chong, pembantu kepada pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, memetik akhbar China Press yang melaporkan kementerian kewangan mengesahkan peruntukan penuh telah disalurkan kepada kementerian pelajaran.

"Walau bagaimanapun, kementerian pendidikan menafikan ia menerima peruntukan RM50 juta itu," katanya.

Chong, yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berkata adalah sesuatu yang tidak boleh diterima bahawa dengan hanya lapan hari lagi sebelum tirai tahun 2016 berlabuh, sekolah rendah Cina di seluruh negara masih belum menerima satu sen pun peruntukan.

"Perkara yang sama berlaku pada tahun lepas, apabila peruntukan RM30 juta untuk sekolah rendah Cina digunakan sebagai bantuan mangsa banjir.

"Pada tahun 2013 dan 2014, tiada kes seumpama itu yang dilaporkan. Semua peruntukan RM50 juta yang dijanjikan kepada sekolah-sekolah rendah Cina telah disalurkan sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, Chong berkata, selepas MCA menyertai semula kabinet, masalah timbul semula.

"Dalam tempoh dua tahun berturut-turut, pada 2014 dan 2015, peruntukan kepada sekolah-sekolah rendah Cina dilaporkan hilang,” katanya.

[Baca berita penuh]