Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan permohonan Dr Ling batal saman Najib - 23 Mac
Diterbitkan:  Dec 23, 2016 6:30 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 23 Mac depan untuk membuat keputusan mengenai permohonan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bagi membatalkan saman difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nor Emelia Mohd Iszeham mewakili Najib dan peguam Villie Nethi mewakili Dr Ling.

Dr Ling pada 15 Februari lepas memohon untuk membatalkan saman Najib atas alasan bahawa ia menyalah guna proses mahkamah dan tidak menyatakan alasan tindakan munasabah.

Najib menyaman Dr Ling pada 27 Oktober 2015 dengan mendakwa bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di ibunegara, yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober 2015.

Pada 18 Julai lepas, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan bagi menyokong permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman perdana menteri.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS