Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil dan pegawainya Norhayati Shahrom dibebaskan daripada tahanan polis.

PEKA Selangor memuat naik gambar kedua-duanya bersama peguam mereka Siti Kassim awal hari ini.

"Terima kasih untuk semua doa anda, sokongan dan harapan. Shariffa dan Norhayati telah dibebaskan," kata Peka Selangor.

Shariffa Sabrina, yang memiliki gelaran "Puan Sri" didakwa menghina keluarga diraja Johor menerusi laman Facebooknya.

PEKA merupakan organisasi pencinta alam sekitar yang sering bersuara terhadap aktiviti pembalakan.

Kedua-dua mereka ditahan pada malam Khamis lalu dan polis kemudian mendapatkan perintah reman selama tiga hari terhadap mereka di Johor Bahru.

Menurut polis, mereka disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) berkaitan "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian".

Jika didapati bersalah, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata kerajaan perlu memuji Shariffa kerana kerja-kerja dilakukannya, namun sebaliknya menahan wanita itu.

"(Beliau menimbulkan isu) kebimbangan umum mengenai alam sekitar. Di sebalik menyiasat mereka yang bertanggungjawab meluluskan lesen pembalakan, kekurangan penguatkuasaan terhadap pemuliharaan alam sekitar oleh pihak berkuasa dan kontraktor balak, mereka yang melaporkan itu pula ditangkap dan diganggu.

"Mereka harus diberi pujian kerana tindakan mereka," kata Raja Kamarul Bahrin dalam satu kenyataan hari ini.