Kekalahan Dr Mariah: Perwakilan belum bersedia laku perubahan radikal
Walaupun 1,200 perwakilan PAS telah memberi kepercayaan kepada pemimpin muda menerajui parti tersebut, tetapi mereka belum bersedia membuat perubahan yang lebih radikal dengan memilih wanita menduduki jawatan tinggi parti.
Walaupun 1,200 perwakilan PAS telah memberi kepercayaan kepada pemimpin muda menerajui parti tersebut, tetapi mereka belum bersedia membuat perubahan yang lebih radikal dengan memilih wanita menduduki jawatan tinggi parti.
Ini jelas dapat dilihat daripada kekalahan calon tunggal wanita Dr Siti Mariah Mahmud, 47. untuk merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden PAS.
Mereka membuat keputusan tersebut walaupun pencalonannya Ketua Penerangan Muslimat PAS itu disokong oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, di peringkat jawatankuasa pusat parti, para perwakilan yang berkumpul di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) bersedia memilih seorang calon muslimat Dr Lo'Lo' Muhamad Ghazali.
Sebaliknya perwakilan memilih gabungan profesional dan liberal melalui pemilihan Husam Musa, Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hassan Mohd Ali bagi memegang jawatan naib presiden.
Ketika diminta mengulas kekalahan Dr Mariah itu, Abdul Hadi berkata jumlah undi yang diperoleh oleh Dr Mariah agak tinggi.
Dr Mariah menduduki tempat keempat berbanding dengan calon lelaki yang lain Mahfuz Omar, Ahmad Awang, Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Azizan Abdul Razak (penyandang).
Pengiktirafan parti
Pemerhati politik berpendapat, keputusan semalam mencerminkan bahawa para perwakilan belum bersedia untuk meletakkan pemimpin muslimat untuk memegang jawatan paling atas yang terbabit dalam membuat keputusan parti.
Bagimanapun, kata mereka, kemampuan Dr Siti Mariah memperolehi undi keempat tertinggi untuk mendahulu empat calon lelaki yang lain, mencerminkan sudah ada perubahan dalam aliran pemikiran konservatif terhadap peranan muslimat dalam parti tersebut.
Malah, Abdul Hadi menyifatkan kejayaan Dr Siti Mariah memperolehi pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut sebagai satu pengiktirafan parti terhadap sumbangan pemimpin muslimat dalam PAS.
Malah, katanya, PAS lebih bersikap terbuka berbanding dengan Umno, kerana parti pemerintah itu sendiripun tidak pernah mencalonkan wanita untuk jawatan penting parti.
"Jadi tindakan kita meletakkan wanita di tempat sewajarnya dalam parti," katanya.
Ditanya adakah kemungkinan kekalahan Dr Siti Mariah disebabkan pencalonannya berlaku pada masa yang tidak sesuai, Hadi berkata "Itu terpulang kepada perwakilan".
Muktamar tahunan ke-51 itu bermula Rabu lalu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, dan berakhir semalam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.