Terjemahan Pendidikan Tinggi di Malaysia kini menghadapi krisis dan orang ramai perlu membantunya.

Pada 13 Jun ini, mereka berpeluang menyuarakan pandangan masing-masing berhubung isu tersebut di majlis makan malam yang akan diadakan di Petaling Jaya.

Majlis tersebut akan dijadikan saluran untuk meyakinkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perlunya menyegerakan pendemokrasian dan meliberalisasikan dasar pendidikan negara.

Majlis yang bertajuk "Bersatu bersama Dr Edmund Terence Gomez" itu dianjurkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di premis Pembangunan dan Penyelidikan Maklumat Strategik (SIRD), di Petaling Jaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menyifatkan Gomez yang terpaksa meletakkan jawatan di University Malaya (UM) baru-baru ini, sebagai "mangsa terbaru dalam krisis pendidikan tinggi yang telah lama berterusan".

Pensyarah ekonomi itu meletakkan jawatan selepas pihak pengurusan UM menolak permohonannya untuk mendapatkan pelepasan selama dua tahun untuk bertugas di sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Lim menyifatkan sebagai 'keterlaluan" tindakan Naib Canselor UM, Prof Dr Hashim Yaacob dan pihak pengurusan universiti tersebut melanggar konsep paling asas pentadbiran yang baik mengenai akauntabiliti dan ketelusan sepanjang tiga minggu yang lalu.

Malah, katanya, Hashim mahupun pihak UM, gagal memberi alasan yang rasional dan memuaskan berhubung layanan tidak sewajarnya terhadap Gomez.

Hashim tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut.

Sementara itu, Lim turut menggesa Pro Canselor UM, Raja Nazrin Shah supaya memberi perhatian peribadi terhadap kes Gomez.

Beliau juga menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh supaya campurtangan dalam hal tersebut.

Ini adalah majlis makan malam kedua yang diadakan untuk mengucapkan selamat jalan kepada Gomez dan turut dimanfaatkan sebagai saluran bagi membangkitkan isu-isu penting mengenai masalah dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

Selain berkongsi pengalamannya ketika bersama universiti tersebut selama dua dekad yang lalu, Gomez juga akan bercakap mengenai krisis yang menimpa pendidikan tinggi negara.