Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin akan menjelaskan semua perkara membabitkan dirinya termasuk penyingkiran sebagai Ketua Srikandi parti itu tidak lama lagi, lapor Sinar Harian.
Akhbar itu memetik pembantu peribadinya, Kasih Alyza Mohd sebagai meminta semua pihak memberikan masa kepada Anina untuk menjawab semua persoalan yang dibangkitkan.
Katanya, bekas anggota Wanita Umno itu akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan semua perkara kepada semua pihak.
Menurutnya, buat masa ini, Anina masih menunggu pandangan pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di luar negara.
“Paling cepat kita akan buat sidang media pada minggu hadapan. Buat masa sekarang pihak kami sedang mendapatkan persetujuan Mahathir dan Muhyiddin yang kini berada di luar negara.
“Percayalah yang kami bukannya mengelak daripada terus menjawab kekeliruan yang timbul, kami cuma perlu lakukan semua yang perlu dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.
Anina pada Ahad lalu mendakwa beliau dilucutkan sebagai Ketua Srikandi BERSATU.
Kekeliruan mengenai jawatan Anina berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.
Dalam satu kenyataan semalam, BERSATU menjelaskan parti itu belum lagi secara rasmi menubuhkan sayap Srikandi.
Oleh itu, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, kedudukan Anina yang sering dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai ketua Srikandi tidak timbul sama sekali.
