Terjemahan Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) patut membuat aduan, melalui keluarga mereka, mengenai keadaan di kem tahanan Kamunting sebelum Kaukus Parlimen melawat di kem tersebut pada 17 Jun depan.

Kaukus pelbagai parti itu telah meminta kebenaran untuk melawat kem di Perak itu sejak enam bulan lalu, berikutan kejadian pergaduhan di situ yang mengakibatkan beberapa tahanan dan kakitangan kem tersebut cedera.

"Kami mengalu-alukan aduan daripada tahanan dan keluarga mereka, dengan menghubungi kami ataupun melalui e-mel," kata Timbalan Pengerusi kaukus itu, yang juga Ketua Pembangkan, Lim Kit Siang, ketika dihubungi.

Beliau mengakui memang sukar untuk menyiasat dakwaan berlakunya penganiayaan sewaktu berlakunya pergaduhan tersebut Disember lalu.

Oleh itu, katanya, kaukus tersebut akan menumpukan siasatannya terhadap keadaan semasa di kem Kamunting itu.

"Apa yang saya ingin lihat ialah keadaan sebenar tahanan di situ dan bukannya taklimat rasmi daripada pihak berkuasa kem tersebut," kata Lim yang juga pernah ditahan di situ di bawah ISA.

Lawatan 20 anggota kaukus tersebut akan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Layanan buruk

Sejak diwujudkan lebih tiga dekat yang lalu, kem Kamunting, buat pertama kalinya, dibuka kepada pihak media Mei tahun lalu berikutan dakwaan berlaku deraan terhadap tahanan di situ.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar telah melawat kem tersebut dan bertemu tahanan terbabit selepas mereka mendakwa, antara lain, telah dibogelkan dan disoalsiasat secara yang mengaibkan.

Tahanan ISA adalah mereka yang dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ditahan selama dua tahun tanpa bicara. Tempoh tahanan mereka boleh dilanjutkan oleh pihak berkuasa.

Undang-undang tersebut, yang pada mulanya digubal untuk menangani ancaman komunis, kemudiannya telah digunakan ke atas ahli politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

Baru-baru ini, dalam laporannya, Suruhanjaya Diraja Polis, memperakukan supaya tempoh tahanan bagi siasatan awal selama 60 hari di bawah ISA, dikurangkan kepada 30 hari, tetapi tidak menyebut supaya dikajisemula atau dihapuskan undang-undang yang dianggap kejam itu.