Kerajaan telah melantik Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baru menggantikan Datuk Awang Adek Hussin.

Memetik kenyataan Kementerian Luar Negeri, sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Zulhasnan telah memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak menyatakan bilakah Zulhasnan akan mula bertugas dan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Zulhasnan mengisi kekosongan ditinggalkan Awang Adek sejak 7 April lalu, yang memilih untuk tidak menyambung kontraknya sebagai Duta Besar.

Difahamkan, beliau akan mula bertugas secara rasmi pada Januari ini.

Zulhasnan pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Setiawangsa dari 2004 hingga 2013.

 Sejak tahun 2014, Zulhasnan yang juga bekas juruterbang tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilantik sebagai Canselor bagi Geomatika University College Malaysia.