Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan menggesa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, khususnya polis, memberi perhatian serius terhadap sentimen yang ditimbulkan PAS yang mendakwa kerajaan negeri merobohkan masjid dan rumah yang dibina rakyat baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun, berkata polis perlu mengambil tindakan tegas kerana dakwaan itu tidak benar dan telah membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan negeri.

"Apa yang berlaku sebenarnya bukanlah masjid yang diroboh oleh kerajaan, tetapi sebuah rumah untuk dijadikan pusat tarbiah PAS," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut laporan Bernama , pada 28 Mei lalu, Pejabat Tanah Daerah Kemaman telah merobohkan sebuah bangunan yang didakwa PAS sebagai "masjid" di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Beris Meraga, Kemaman kerana ia dibina secara haram.

Sebelum itu, pada 19 Mei, sebuah kerangka rumah turut dirobohkan di Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Setiu setelah kerajaan negeri tidak memperbaharui Lesen Menduduki Sementara (TOL) di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Rosli mendakwa PAS meracuni pemikiran rakyat terhadap tindakan kerajaan negeri itu sedangkan apa yang dilakukan adalah mengikut undang-undang dan peraturan.

"Apa yang sebenarnya diroboh itu ialah rangka premis yang didirikan di atas tanah kerajaan dan semasa merobohkan rangka bangunan (di Kampung Bujal), pihak berkuasa telah menemui bom diesel," katanya.

Harap lebih bertanggungjawab

Rosli berkata pemimpin PAS sepatutnya membendung kegiatan yang didakwanya berbentuk militan kerana ia akan membawa banyak keburukan kepada rakyat.

"PAS menunjukkan model (contoh) kasar dalam ceramah-ceramah yang diadakan dengan tidak meletak tatasusila peradapan orang Melayu yang beragama Islam yang sepatutnya menjadi perjuangan mereka," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap barisan kepimpinan baru PAS lebih bertanggungjawab dan tidak bertindak sehingga memecahbelahkan perpaduan masyarakat Islam di negara ini.

"Mereka diharap tidak menggunakan kaedah dan cara keterlaluan terutama yang menyentuh soal akidah," katanya ketika diminta mengulas barisan kepimpinan baru PAS selepas pemilihan parti itu di Kota Baharu, Kelantan semalam.

Dalam pemilihan itu, bekas Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa dipilih sebagai timbalan presiden, menggantikan Senator Hassan Shukri, manakala dua penyandang jawatan naib presiden dimenangi muka baru.

Mereka ialah Exco Kerajaan Kelantan Husam Musa, ahli jawatankuasa Pas pusat Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hassan Ali yang berjaya mengekalkan jawatan itu ketiga-tiganya bukan golongan ulama.

Ditanya mengenai kemungkinan hubungan PAS dan Umno selepas ini, Najib berkata, Umno akan menunggu dan melihat tindak-tanduk pimpinan baru parti tersebut.

Bagi Umno, katanya, soal pembaharuan barisan kepimpinan sudah lama berlaku sehingga menjadikan parti itu sentiasa dinamik dan segar.