Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) menyambut baik kenyataan timbalan presiden PAS yang baru, Nasharuddin Mat Isa mengenai kesediaan parti Islam itu untuk bekerjasama dengan bukan Islam bagi memperbaiki senario politik negara.

Timbalan Setiausaha Agung (11) penaja PRIM, P Karuna berkata, pendekatan itu juga akan dapat meningkatkan ime profesional PAS dan menghapuskan imej ekstremis parti itu supaya ia dapat diterima oleh rakyat Malaysia.

Nasharuddin memenangi jawatan tersebut selepas menewaskan penyandannya, Senator Hassan Shukri dan bekas Bendahari PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding.

Selain kepada Nasharuddin, katanya, PRIM mengucap tahniah kepada Husam Musa, Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hassan Ali yang masing-masing terpilih sebagai naib presiden PAS dalam muktamar parti itu semalam.

"Kami amat berharap agar barisan kepimpinan baru PAS akan mengamalkan apa yang dikatakannya. Kami dalam PRIM bersedia untuk bekerjasama dengan PAS serta menjadi jambatan dengan masyarakat lain bagi mewujudkan suasana politik yang baik," kata Karuna dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu di Kota Bharu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya barisan kepempinan PAS yang baru dipilih, mampu menarik sokongan akar umbi bagi memberi kemenangan kepada parti itu dalam pilihanraya yang akan datang.

Pemimpin muda dan berilmu

Menurutnya, barisan kepimpinan PAS kini dianggotai lebih ramai orang muda yang berpengalaman luas dalam banyak cabang ilmu, termasuk bidang pentadbiran, yang dilihat mampu berhadapan dengan musuh tradisinya, Umno.

"Saya berpuas hati dengan perjalanan pemilihan kali ini yang tidak dicemari politik wang atau perbuatan buli membuli di kalangan ahli atau calon yang bertanding," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kota Bharu.

Mengulas kekalahan Dr Siti Mariah, Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak kecewa dan berharap muslimat mempunyai peluang yang lebih cerah pada pemilihan akan datang.

Menurut laporan Bernama, beliau juga menolak anggapan kononnya wujud dua kumpulan dalam Pas, iaitu golongan ulama liberal dan profesional.

Beliau yakin anggapan itu hanyalah propaganda pihak tertentu yang ingin merosakkan PAS dengan mengelirukan anggota parti.

Nik Abdul Aziz berkata beliau lebih suka menganggap semua ahli PAS sebagai ulama, cuma tahap mereka berbeza mengikut ilmu yang dimiliki mereka.