Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hari ini diberi amaran supaya tidak melanggar syarat konsesi dalam urusan penggantian paip usang di Lembah Kelang, yang bermula pertengahan bulan lalu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata tindakan tegas termasuk kemungkinan membatalkan hak konsesi akan diambil sekiranya syarikat itu didapati sengaja melanggar syarat berkenaan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, siasatan awal mendapati Syabas menggunakan paip gantian yang diimport dari luar negara bagi tujuan itu dan mendapatkan bekalan daripada sebuah syarikat pembekal sahaja.

Tindakan itu, katanya melanggar syarat-syarat yang termaktub dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 yang mahukan penggunaan produk tempatan dalam kerja-kerja berkenaan serta menjalankan proses tender secara terbuka.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Kilang Petro-Pipe Industries Malaysia Sdn Bhd di Butterworth, Pulau Pinang, Lim berkata, sehubungan itu, kementeriannya meminta Syabas memberikan penjelasan berhubung perkara itu secepat mungkin.

"Kementerian berhak menghentikan operasi Syabas jika masih gagal memberikan penjelasan," katanya.

Lim turut mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan secara terperinci berhubung perkara itu.

Paip didakwa dari Indonesia

Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mengenai penggunaan komponen dan paip yang diimport dari Indonesia untuk projek penggantian paip usang di Medan Athinahapan, Petaling Jaya yang bermula 15 Mei lalu.

Katanya berikutan aduan itu, siasatan telah dijalankan beberapa hari lalu dan mendapati komponen paip yang digunakan bukan produk tempatan.

Beliau juga mempersoalkan cara pemberian tender oleh syarikat itu yang menurutnya belum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Lim berkata pemberian tender Syabas sepatutnya dipantau oleh Badan Selia dan Pengurusan Air Selangor dan mereka sepatutnya melaksanakan tugas itu dengan berkesan dalam tempoh interim ini sementara menunggu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ditubuhkan.

Projek penggantian paip air di Selangor itu, yang dilancarkan pada 15 Mei lalu dengan geran pembiayaan kerajaan lebih RM250 juta, merupakan sebahagian projek penggantian paip air bernilai RM2 bilion di seluruh negara.

Sementara itu, Lim mahukan pembekal paip tempatan supaya menyediakan bekalan bahan yang mencukupi bagi menampung keperluan penukaran paip air di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya industri paip air akan terus berkembang dan beliau mengingatkan pengeluar supaya tidak menaikkan harga bahan itu.

Setakat ini, terdapat 15 syarikat pengeluar komponen paip yang beroperasi di negara ini.