Isu tanah Kampung Dtk Murad, Tok Bidan: Suhakam akan jumpa BPR
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan perjumpaan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kedah dalam siasataannya berhubung pengambilan tanah di Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan di Alor Setar bagi pembangunan tambahan Kompleks Islam Yayasan Al-Bukhary.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan perjumpaan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kedah dalam siasataannya berhubung pengambilan tanah di Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan di Alor Setar bagi pembangunan tambahan Kompleks Islam Yayasan Al-Bukhary.
Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan berkata pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Unit Perancang Ekonomi Negeri serta pihak pemaju sendiri untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.
Katanya, suruhanjaya itu akan menyiasat segala kemungkinan, termasuk sama ada wujud elemen rasuah berkaitan isu pengambilan tanah seluas 1.8 hektar di dua kampung tersebut oleh syarikat pemaju Bukhary Realty Sdn Bhd (BRSB) menerusi kerajaan negeri.
"Suhakam akan turut menyiasat sama ada kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengambil tanah bagi kepentingan pihak swasta," katanya kepada pemberita di majlis pertemuan dengan penduduk kedua-dua kampung itu di Dewan Orang Ramai Kampung Datuk Murad hari ini.
Menurut laporan Bernama , Hamdan berkata Suhakam menerima aduan daripada penduduk di dua kampung terbabit bahawa kaedah pengambilan, penempatan semula dan kos pampasan yang ditawarkan pemaju tidak setimpal.
Pampasan dan gantirugi
Menurutnya, Suhakam telah memulakan siasatan awal berkaitan hal berkenaan bagi mendengar selain menerima dan mendapat maklumat daripada penduduk kedua-dua kampung terbabit.
Katanya, siasatan juga akan merangkumi semua aspek termasuk pampasan serta ganjaran gantirugi yang akan diperolehi penduduk di situ.
"Penduduk di kawasan itu memiliki pajakan ke atas tanah selama 99 tahun dan sebarang pengambilan tanah mesti dilakukan mengikut prosedur," katanya.
Kampung terbabit asalnya adalah penempatan setinggan dan diberikan status pajakan 99 tahun pada 1997. Rata-rata penduduknya berpendapatan di bawah RM450.
Sebanyak 75 keluarga di Kampung Datuk Murad dan 38 keluarga di Kampung Tok Bidan terlibat dalam pengambilan tanah berkenaan.

