Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengarahkan Bank Negara Malaysia untuk memangil Hong Leong Bank bagi berbincang berkaitan dengan senarai saham yang mana ia enggan memberikan kemudahan pembiayaan margin saham.

Senarai sedemikian tidak boleh diterima, kata beliau ketika diminta mengulas mengenai trend menurun pasaran saham baru-baru ini.

"Saya akan mengarahkan Bank Negara supaya mengadakan pertemuan dengan Hong Leong Bank," katanya di sidang akhbar selepas merasmikan persidangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Malaysia (NUTE) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama , Abdullah, yang juga Menteri Kewangan berkata para pengawal selia mengesyaki trend menurun pasaran saham baru-baru ini adalah disebabkan oleh manipulasi di pasaran.

Beliau berkata, keengganan memberikan pembiayaan margin oleh institusi-institusi kewangan juga boleh dijadikan salah satu alasan yang menjurus kepada trend menurun itu.

Berikutan laporan yang mengatakan bank-bank menangguhkan tawaran kemudahan margin saham, beberapa tokoh bank telah mengadakan persidangan lewat malam Khamis lalu untuk menjelaskan mengenai perkara ini dan ia tidaklah seperti yang digambarkan.

Malah, beberapa daripada mereka mengatakan mereka merancang untuk menaikkan lagi pembiayaan margin saham mereka.

Mereka juga menyalahkan sindiket yang memonopoli pasaran menyebabkan trend menurun di pasaran saham.