Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah NGO mesra Umno hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR tidak jujur dan amanah dalam membanteras isu mesin judi slot di negeri itu.

Ketua Setiausaha, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Hamdan Mohd Salleh berkata jika Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada kesungguhan, ini pasti akan dapat dilaksanakan.

"Tetapi JMM melihat bahawa kerajaan seolah ada hubungan baik dengan tauke mesin judi dan hanya bermain wayang untuk mengaburi mata masyarakat menutup dan membuka premis di sebalik pihak PBT dan pihak berkuasa.

"JMM mendesak kerajaan negeri merombak kembali barisan kepimpinannya," kata Hamdan dalam sidang media di Ampang hari ini.

JMM yang bernaung di bawah gerakan Baju Merah yang diterajui Datuk Seri Jamal Md Yunos seterusnya mencabar Azmin merombak kembali barisan kepimpinannya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai gejala sama di negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Semalam, Jamal yang juga adalah ketua Umno Bahagian Sungai Besar turun bersama kira-kira 100 pemuda bermotorsikal dan menyerbu dua pusat perjudian sekitar Jalan Kosas, Ampang.

Dengan berpakaian jubah dan kopiah putih, beliau turut membawa keratan gambar  Azmin yang didakwanya tidak berbuat apa-apa untuk membanteras gejala itu.

Jamal turut mendakwa pemilik pusat judi yang diserbunya menyoggok pihak tertentu di Selangor untuk mendapat lesen.

Mengulas lanjut Hamdan berkata Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilihat tidak peka kepada isu tersebut dan penguatkuasaan terhadap premis sedemikian hanya dilakukan secara bermusim.

"Di sekitar Ampang berkali-kali serbuan serta rampasan dilakukan tetapi ia hanya semenara dan masyarakat sudah mula muak dengan wayang yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menutup dan membuka semula premis mesin slot judi ini," kata Hamdan.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata Jamal dan penyokongnya melanggar undang-undang apabila melakukan pemeriksaan dan serbuan tanpa kebenaran kerana ia adalah pencerobohan ke atas sesuatu tempat.

Awal minggu ini, ketua gerakan Baju Merah itu mengugut untuk merobohkan sendiri bangunan dan premis yang beroperasi sebagai disko, rumat urut dan perjudian.

Malah, beliau turut dilaporkan mengakui telah menyewa mesin pengorek dan jengkaut untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Beliau yang juga adalah pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort sebelum ini berang, apabila Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bertindak menyita dan merobohkan sebahagian struktur di resortnya itu minggu lalu kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.

Jamal mendakwa tindakan terhadap resortnya itu dibuat susulan 'bantahan bertualanya' terhadap gangguan bekalan air di Selangor baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS