Terjemahan Indonesia tidak mahu mengadakan rondaan bersama dengan Malaysia dan Singapura untuk melindungi Selat Melaka daripada ancaman lanun, tetapi lebih suka sistem kerjasama sekarang dikekalkan, demikian dilaporkan hari ini.

Menteri Pertahanan Indonesia, Juwono Sudarsono berkata rondaan bersama akan mengenepikan hak kedaulatan negara masing-masing, yang akan membolehkan kuasa luar memasuki wilayah mereka sesuka hati.

Agensi berita Antara memetik beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Singapura, Teo Chee Hean hujung minggu lalu, bahawa hubungan semakin baik antara negara-negara anggota Asia mungkin membolehkan rondaan bersama diadakan di Selat Melaka.

"Kerjasama sedia ada dilihat sebagai format terbaik yang dipersetujui oleh ketiga-tiga berkenaan untuk menjamin keselamatan Selat Melaka," kata Juwono.

"Kami(Indonesia) tidak mahu format kerjasama sekarang membawa kepada penepian hak kedaulatan negara-negara berkenaan, yang kemudiannya akan diganti pula oleh negara lain," katanya.

Di bawah kerjasama penyelarasan keselamatan bersama, Indonesia, Malaysia dan Singapura meronda wilayah masing-masing di Selat Melaka.

Amerika, Jepun tawar bantuan

Bagaimanapun, kata Juwono, jika sistem tersebut digantikan dengan rondaan bersama, salah sebuah daripada negara berkenaan hendaklah dilantik sebagai pemerintah bagi melindungi perairan sepanjang 500 kilometer itu.

Katanya, negara-negara lain tidak seharusnya dibenarkan menyumbangkan tenaga tentera kepada mana-mana operasi rondaan bersama itu.

"Jika negara-negara maju tertentu mahu membantu, ia lebih baik dalam bentuk meningkatkan kapasiti, dan bukannya membabitkan anggota tentera atau kapal perang," katanya.

Jepun dan Amerika Syarikat telahpun menawarkan bantuan untuk menjaga keselamatan di selat tersebut yang berdepan dengan kegiatan penyeludupan dan serangan lanun.

Selat Melaka adalah salah satu laluan perairan yang paling sibuk di dunia, yang digunakan oleh 50,000 kapal yang membawa satu pertiga daripada jumlah perdagangan dunia setiap tahun.

- AFP