Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan 40 yang lain cedera dalam serangan malam tahun baru di sebuah kelab malam di pusat bandar Istanbul, Turki.

Seorang penyerang menembak pegawai polis dan seorang awam ketika memasuki kelab malam Reina, sebelum melepaskan tembakan rambang, kata Gabenor Istanbul Vasip Sahin.

Beberapa laporan lagi menyebut terdapat ramai penyerang dalam insiden tersebut.

"Seorang pengganas dengan senjata jarak jauh, kejam dan rakus melakukan serangan dengan menembak orang tidak bersalah yang berada di sana bagi menyambut tahun baru dan bergembira," kata Sahin kepada pemberita.

Serangan itu mengejutkan Turki yang baru pulih daripada cubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai lalu dan siri pengeboman di bandar-bandar termasuk Istanbul dan ibu negara Ankara. Sesetengah pihak mendakwa dilakukan IS manakala yang lain mendakwa angkara militan Kurdis.

Kelab berkenan, salah sebuah kelab ikonik dan popular di kalangan penduduk tempatan dan asing, menghadap selat Bosphorus yang memisahkan Eropah dan Asia di daerah Ortakoy.

Kira-kira 500 hingga 600 orang dikatakan berada dalam kelab berkenaan apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan kira-kira pukul 1.05 pagi, kata penyiar CNN Turk.

Sebahagian mereka terjun ke perairan Bosphorus untuk menyelamatkan diri dan telah diselamatkan oleh pihak polis.

[Baca berita penuh]