Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa bom petrol ditemui ketika Pejabat Daerah Kemaman hendak merobohkan sebuah premis di tanah kerajaan di Kampung Bujal, Kemaman baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata PAS sanggup buat apa sahaja asalkan ia menguntungkan parti mereka walaupun ia bertentangan dengan agama dan mampu menggugat keamanan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

"Ini tidak boleh dipandang mudah dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penerangan Isu-Isu Semasa peringkat negeri di Stadium Negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Program tersebut yang dihadiri 2,000 orang bertujuan menjelaskan isu-isu semasa termasuk kedudukan sebenar isu merobohkan "masjid" seperti didakwa PAS di Kampung Bujal, Kemaman yang kini hangat dijaja oleh parti pembangkang itu.

Idris berkata, sikap mengutamakan parti daripada agama sebenarnya boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat, apatah lagi bagi mereka yang bersikap ekstremis.

Menurut beliau rakyat perlu menolak parti pembangkang itu kerana mereka jelas bukannya berjuang untuk agama tetapi lebih cenderung kepada kepentingan parti mereka sahaja.

"Inilah yang berlaku sekarang dan kerajaan negeri akan memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada rakyat mengenai pembohongan PAS selama ini melalui program penerangan yang dilaksanakan di peringkat daerah.

"Sehingga kini kerajaan berpuas hati dengan penerimaan rakyat terhadap penjelasan yang telah dibuat kerana rakyat hari ini sebenarnya sudah matang dalam menangani isu-isu yang berlaku," katanya.