Shahrizat gesa negeri wujud potfolio wanita, keluarga
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Shahrizat Abdul Jalil menggesa semua kerajaan negeri, termasuk ditadbir PAS, menyelaraskan maklumat bagi menjayakan majlis kebangsaan pembangunan wanita dan keluarga.
Beliau menambah, anggota majlis mesyuarat kerajaan (exco) yang khusus untuk menangani hal ini perlu dilantik untuk memudahkan interaksi antara kementerian itu dengan kerajaan negeri.
"Kalau boleh, kita (kementerian) minta semua kerajaan negeri mewujudkan seorang exco (khusus) untuk potfolio pembangunan wanita dan keluarga, kemudian exco ini akan menganggotai majlis kebangsaan itu," katanya, dalam sidang media mengenai wawasan, matlamat, strategi dan struktur pentadbiran kementerian itu di ibu negara, pagi tadi.
Shahrizat, wakil rakyat Lembah Pantai, dilantik menteri pada 17 Januari lalu dan kementerian yang dipimpinnya itu pertama kali diwujudkan untuk menangani isu-isu wanita. Pada 16 Februari, Kementerian Hal-ehwal Wanita ditukar kepada namanya sekarang.
Kementerian baru itu mempunyai dua agensi, Jabatan Pembangunan Wanita (sebelum ini dikenali Bahagian Hal Ehwal Wanita) yang dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri, dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) daripada Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang diketuai Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.
Shahrizat hari ini mengumumkan penubuhan majlis pembangunan wanita dan keluarga yang dianggotai exco setiap negeri dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Bagaimanapun menurutnya lagi, tiada tempoh masa untuk kerajaan negeri mewujudkan potfolio itu.
Jawatankuasa teknikal
Selain itu Shahrizat memberitahu, kementeriannya buat masa ini mewujudkan lapan jawatankuasa kerja teknikal yang dianggotai pemimpin dan pakar wanita. Jawatankuasa kerja itu merangkumi bidang-bidang ekonomi dan pembangunan, agama, undang-undang, kesihatan, media, komunikasi dan promosi serta pendidikan.
Menurut Shahrizat, hasil perbincangan di peringkat Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita dalam Pembangunan (Naciwid) akan dibawa ke jawatankuasa kerja teknikal dan seterusnya dibincangkan di peringkat kementerian itu dan jawatankuasa antara kementerian.
Mengenai jawatankuasa antara kementerian pula, baru-baru ini kementeriannya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia.
Tambahnya, isu-isu yang dibincangkan termasuklah keperluan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari (daripada 60 hari) dan gangguan seksual.
Mengulas cadangan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsudin untuk menyusun cuti bersalin bagi guru-guru, Shahrizat berkata beliau percaya timbalan menteri itu bermaksud guru wanita merancang keluarga dan bukannya "membuat jadual" seperti dilaporkan.

